Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Tuesday, March 1

Program Sukan Tahunan SKKD - Meriah !!!






Pada tahun ini, sekolah telah mengadakan Program Sukan Tahunan agak awal berbanding tahun sebelumnya yang dibuat pada hujung tahun. Walaupun keadaan padang agak sempit, namun sekolah telah berjaya mengadakan Hari Sukan secara besar-besaran. Puan Khalidah binti Omar, wakil pegawai dari PPD telah merasmikan pembukaan Hari Sukan tersebut. Pelbagai acara yang telah dijalankan, antaranya acara individu seperti lari terus, acara peralatan dan acara berkumpulan. Acara terbuka juga turut diadakan untuk ibu bapa yang datang ke temasya sukan itu. Paling meriah diadakan acara perbarisan dan pertandingan hiasan khemah. Pada tahun ini, khemah telah dihias oleh ibu bapa murid kerana pihak sekolah menggalakkan program SARANA. Tokoh Olahragawan telah disandang oleh Muhammad Faiq bin Mohd Salleh manakala Tokoh Olahragawati pula disandang oleh Norziana binti Mohd. Dalam pertandingan perbarisan, Rumah Biru telah mendapat juara dan dalam pertandingan hiasan khemah pula, Rumah Merah telah mendapat tempat pertama. Alhamdulillah, program Sukan Tahunan berakhir dengan jayanya berkat kerjasama daripada semua guru, ibu bapa dan murid-murid. Terima kasih diucapkan kepada ibu bapa yang sudi menderma wang bagi menampung perbelanjaan sukan tahunan ini.

Saturday, January 30

Pertandingan Bola Tampar Peringkat Daerah Seremban 1





Baru-baru ini, sekolah telah menghantar dua pasukan bola tampar ke pertandingan di peringkat daerah Seremban 1 yang di adakan di Centre Court, Paroi. Dalam pertandingan tersebut, pasukan bola tampar lelaki kurang bernasib baik kerana tidak berjaya meraih  sebarang kemenangan manakala pasukan perempuan telah berjaya mendapat tempat ketiga.  Tahniah kepada pasukan bola tampar perempuan atas kejayaan yang dicapai. Tahniah juga kepada jurulatih-jurulatih bola tampar SKKD serta semua guru yang telah bersama-sama memberi dorongan dan semangat kepada pasukan bola tampar sekolah sehingga berjaya membawa pulang pingat kemenangan. Diharap akan lebih berusaha lagi pada masa akan datang. 


Pertandingan Merentas Desa Peringkat Daerah Seremban 1





Sekolah telah menghantar seramai 6 orang peserta lelaki dan perempuan ke pertandingan merentas desa peringkat daerah di SMK Bukit Kepayang. Dalam pertandingan tersebut, sekolah kita tidak mampu menyaingi peserta- peserta dari sekolah lain yang ternyata lebih pantas terutamanya peserta India . Walaupun tidak memperoleh sebarang kemenangan, namu usaha  para peserta sekolah harus dipuji kerana 3 orang daripada mereka telah berjaya mencapai masa terbaik yang telah ditetapkan. Mereka tersebut ialah Norziana, Amini Lili dan Nurlia Izati. Tahniah dan berusahalah lagi pada masa akan datang.

Friday, January 29

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah




Walaupun agak terlewat untuk kita menyambut hari kelahiran nabi, namun hasrat untuk menanamkan kecintaan kepada junjungan nabi kita, maka dengan itu sekolah telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada hari Jumaat, 25 Januari 2016 bertempat di dewan sekolah. Pelbagai aktiviti telah dijalankan, Antaranya ceramah sirah nabi daripada ustaz jemputan, pertandingan mewarna bagi murid tahap 1 dan pertandingan tadarus Al-Quran bagi murid tahap 2. Berikut adalah nama-nama pemenang bagi pertandingan yang telah dijalankan.

 Pertandingan Hafazan Lelaki:          1. Muhd Hakimi bin Muhd Adi Anuar
                                                           2. Muhd Arief Shakir bin Muhd Sulaiman
                                                           3. Aiman Danial
Pertandingan Hafazan Perempuan:   1.Robiatun Aduwiyah binti Noorulazman
                                                           2.Iman Khadeeja binti Shahrizal
                                                           3.Siti Nurul Najehah binti Mohd Rizal
Pertandingan Tilawah Al-Quran:      1.Zulashraf bin Aziz
                                                           2 Amalia Qistina binti Mohd Nafis
                                                           3. Luqman Hakim bin Ahmad Zuraidi 
Pertandingan Mewarna Prasekolah:  1.Joanna     
                                                           2.Qisya
                                                           3. Qalesya    
Pertandingan Mewarna Tahun 1:      1. Nur Arissa Aryana
                                                           2.Ashraf
                                                           3.Amir Dani
Pertandingan Mewarna Tahun 2:      1.Auni Nur Qistina
                                                          2. Nur Alesya Safiya
                                                          3. Siti Nur Balqis
Pertandingan Mewarna Tahun 3:     1. Nur Syatilla binti Abd Aziz
                                                          2. Siti Alha binti Fareed
                                                          3. Nurul Damia Ayuni binti Azman

Monday, January 11

Pertandingan Merentas Desa Peringkat Sekolah dan LADAP Format Baharu B.Melayu




Pada minggu pertama persekolahan bersamaan hari Sabtu, 9 Januari 2016 telah diadakan Pertandingan Merentas Desa peringkat sekolah yang disertai oleh semua murid tahap 2, lelaki dan perempuan. Pertandingan tersebut telah dijalankan di kawasan Kampung Daching sejauh dua kilometer. Sebelum memulakan larian, murid-murid telah melakukan senaman ringan untuk memanaskan badan bagi mengelakkan kekejangan otot. Murid-murid perempuan terlebih dahulu dilepaskan, disusuli murid-murid lelaki pada 10 minit kemudian. Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk memilih peserta yang akan mewakili sekolah ke Pertandingan Merentas Desa peringkat daerah.Berikut adalah nama lima orang peserta terpantas bagi murid lelaki dan perempuan.

                 1. Muhd  Haikal bin Zabidin                                1. Norziana binti Mohamad
                 2. Muhd Ajmal Khumaini  bin Md Halim            2. Amani Lili Sofea binti Ismail  
                 3. Luqman hakim bin Ahmad Zuraidi                  3. Norlia Izzaty binti Akiruddin
                 4. Muzakkir bin Nasiron                                       4. Nurul Ellya Fitri binti Murat
                 5. M.Shahmi Shahirfan bin Mohd Shukeri           5. Robiatun Aduwiyah binti Noorulazman



Tahun 2016...Kembali ke Sekolah Dengan Semangat Baharu...


Tanggal 2 Januari 2016 bermulalah pendaftaran bagi murid-murid prasekolah dan tahun satu. Ibu bapa murid-murid tersebut turut diberi taklimat oleh Guru Besar serta Guru-guru Penolong Kanan mengenai perkara-perkara berkaitan yang perlu ibu bapa ketahui berhubung hal ehwal murid. Kemudian, pada 4 Januari 2016 pula, sesi persekolahan bermula bagi semua murid di sekolah ini. Tergambar perasaan riang dan gembira pada wajah mereka setelah bercuti selama enam minggu. Pada tahun ini, keseluruhan bilangan murid adalah seramai 210 orang. Jumlah guru pula di sekolah ini adalah seramai 19 orang.                     



Selamat Datang Tahun 2016

Tahun 2016 datang dengan semangat yang baharu seiring dengan semangat warga pendidik di SK Kampong Daching dan murid-muridnya. Tahun baru ini, alhamdulillah, sekolah telah mempunyai lagu sekolah dan bendera sekolah yang baharu. Jika dihayati daripada lirik lagu sekolah ini, diharap hendaknya warga pendidik dan murid-murid di sekolah ini juga seiring mempunyai semangat ingin berjaya dalam segala bidang baik akademik, kokurikulum dan sahsiah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Tahniah kepada pencipta bendera sekolah iaitu Pn Siti Hawa binti Ahmad dan penulis Lirik Lagu Sekolah, Pn Sharifah Munirah binti Mustapha. Semoga 2016 membawa banyak kejayaan kepada sekolah ini. Bersama-samalah kita warga SKKD merealisasikannya.

Thursday, November 19

Program Hari Anugerah Kecemerlangan 2015 dan Majlis Graduasi Murid Tahun 6











Program terakhir sekolah iaitu Majlis Sambutan Hari Anugerah Kecemerlangan disambut dengan gilang-gemilang oleh warga sekolah dan ibu bapa murid pada 18 November 2015. Perasmian disempurnakan oleh wakil Pegawai dari PPD Seremban, En Azhar. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YDP PIBG, Encik Amran bin Bakar. Di samping itu juga diadakan majlis graduasi bagi murid tahun enam dan prasekolah. Pelbagai persembahan dipersembahkan oleh murid bagi memeriahkan majlis tersebut. Dalam majlis itu, Anugerah Tokoh Cemerlang Kokurikulum (Koakademik) telah dinobatkan kepada Nurul Syifa binti Ahmad Laily,  Tokoh Cemerlang Kokurikulum(Sukan) disandang oleh Luqman Haqim bin Ahmad Zuraidi, Tokoh  Cemerlang Akademik pula digondol oleh Ahmad Nazief bin Ahmad Hisham manakala Tokoh Murid 2015 diraih oleh Siti Maysarah binti Kamal Arifin. Tahniah kepada murid yang menerima hadiah kerana cemerlang dalam pelajaran . Bagi murid yang tidak berjaya, rajin-rajinlah belajar lagi.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                           

Keputusan UPSR 2015- 3 orang 5A


Terlerai sudah debaran di hati, tersingkap sudah teka-teki bermain di sanubari. Kini, keputusan UPSR 2015 diketahui sudah. Alhamdulillah, bilangan murid yang mendapat 5A meningkat daripada seorang pada tahun lepas kepada tiga orang pada tahun ini. Mereka yang bertuah itu ialah Siti Maysarah binti Kamal Arifin, Ahmad Nazief bin Ahmad Hisham dan Luqman Hakim bin Fareed. Tahniah kepada ketiga-tiga orang murid tersebut. Seramai 5 orang murid berjaya mendapat 4A1B dan 3 orang murid mendapat 3A. Walaupun bilangan murid mendapat 5A meningkat, namun GPS sekolah dan purata kelulusan agak jatuh sedikit. Diharap guru-guru di sekolah ini akan bersama-sama berganding bahu untuk meningkatkan prestasi UPSR tahun 2016 yang berwajah baharu di mana bilangan A sudah bertambah kepada 6A. 

Program Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Sekolah





Program Hari Kanak-kanak Sedunia telah disambut meriah oleh murid-murid SK Kampong Daching pada 6 November 2015, dengan mengadakan pelbagai persembahan yang menarik seperti tarian, lakonan, silat dan sebagainya. Antara objektif hari tersebut diadakan adalah untuk menghargai dan meraikan murid-murid di sekolah ini. Setelah semua persembahan berakhir, murid-murid telah dijamu dengan makanan KFC. Pihak sekolah berharap agar program ini dapat menggembirakan murid-murid serta memberi suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan pembelajaran di sekolah ini bersama-sama rakan mereka.

Sukan Mini SKKD,2015







Pada tahun ini, sekolah tidak dapat melaksanakan sukan secara besar-besaran memandangkan cuaca berjerebu yang berpanjangan. Namun, alhamdulillah berjaya melaksanakan sukan mini sahaja pada 4 November 2015 yang lalu walaupun dalam keadaan padang yang basah. Pelbagai acara sukan telah diadakan secara individu dan berkumpulan. Tokoh Olahragawan telah digondol oleh Muhammad Ariff Khairul Nizam manakala Tokoh Olahragawati pula digondol oleh Nurul Shuhada binti Sisul. Pada tahun ini, Rumah Merah masih mengekalkan kejuaraan pada tahun lepas dalam mengumpul mata terbanyak. Tahniah kepada yang berjaya. Semoga dengan adanya hari sukan ini, pihak sekolah dapat mencungkil bakat-bakat murid dalam pelbagai acara dan memudahkan pihak sekolah melakukan pemilihan peserta bagi mewakili sekolah di peringkat daerah kelak.

Monday, November 2

Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Sempena Program Bulan Bahasa Kebangsaan




Sekolah ini bertuah kerana telah terpilih untuk menyertai pertandingan bercerita BM mewakili daerah Seremban 1 dalam Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri sempena Program Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan di IPG Kampus Raja Melewar, Seremban pada  26 Oktober 2015. Seramai 32 orang peserta dari semua daerah di Negeri Sembilan telah menyertai pertandingan tersebut, dalam tahap 1 dan 2. Empat orang peserta sekolah telah terlibat iaitu adik Najihah binti Norhamidi dan Iman Khadeeja mewakili Tahap 1 manakala Luqman Hakim bin Ahmad Zuraidi dan Muhd Amirul Aiman bin Amran mewakili Tahap 2. Dua orang peserta sekolah kita telah melepasi saringan dan berjaya ke peringkat akhir dan kedua-dua peserta tersebut mendapat tempat ke-4 dalam pertandingan tersebut. Mereka ialah adik Muhammad Amirul Aiman bin Amran bagi tahap 2 dan adik Iman Khadeeja binti Shahrizal bagi tahap 1. Tahniah kepada Aiman dan Iman Khadeeja atas kejayaan yang telah dicapai. Walaupun peserta sekolah tidak berjaya mendapat tempat terbaik dalam pertandingan tersebut, namun sifat berani mencuba mereka itu harus menjadi contoh kepada murid-murid yang lain di sekolah ini.