Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Saturday, January 15

Tahniah....


Sekalung tahniah kepada adik Siti Kamilah kerana berjaya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan "Mengeja dengan tepat" yang telah diadakan di SK Sungai Jai pada 8. 1. 2011 yang lepas. Semoga kecemerlangan awal tahun 2011 ini akan berterusan untuk SK Kampong Daching. Tanhiah juga kepada penyelas Pusat Sumber sekolah Puan Sharifah Munirah selaku pengurus peserta SK Kampong Daching. Penyampaian hadiah untuk majlis ini te;ah disempurnakan oleh YB. Tuan Mustafa Bin Salim, ADUN Kawasan Lenggeng.

Friday, December 31

Datang dengan harapan.....





Selamat datang kepada semua murid tahun satu 2011. Detik bersejarah dalam hidup termetri pada 31. 12. 2010. Putih, bersih laksana kain yang masih belum bercorak. Datang untuk dicorakkan dengan pelbagai warna. Wajah-wajah comel ini memerlukan bimbingan untuk menjadi peneraju negara. Dibahu kita diamanahkan untuk menjadi jambatan penyalur ilmu. Seperti putisnya lirik lagu "Guru Malaysia",

Amanah yang diberi,
kami tak persiakan,
apa yang kami janji.
tunai tetap kami tunaikan.

Inilah lirik lagu yang kita nyanyikan setiap tahun. Bukan sekadar untuk dinyanyikan kerana "Amanah yang diberi itu terlalu besar untuk dipikul, dan bukan mudah untuk digalas. Amanah kepada Allah, Amanah kepada ibubapa, Amanah kepada masyarakat dan yang paling utama AMANAH PADA DIRI.

Friday, December 17

Pandai kita dengan ilmu, bijak kita dengan pengalaman...!

Adakah kita benar-benar bersedia untuk mengharungi cabaran profesion keguruan yang menunggu. Walaupun ilmu yang dituntut telah diuji di dalam bilik kuliah, namun semua itu tidak akan sama nilainya dengan pengalaman sebenar apabila bertugas. Ingatlah hari-hari yang kita lalui dalam kerjaya akan memenuhi dada dengan kenangan dan pengalaman yang tidak ternilai harganya. Pengalaman itulah yang akan mendewasakan pemikiran kita untuk menghadapi segala cabaran. Pada saat kita bulat hati memilih keguruan sebagai kerjaya, kita harus membuka jendela minda dan berlapang dada untuk bersemuka dengan pelbagai ragam murid, tanpa mengira status sekolah, status murid atau ststus kelas. Semua tugas dan amanah hendaklah dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan tanpa prejudis. Sekurang-kurangnya kita dapat tersenyum bangga dan puas kerana mampu merealisasikan impian masyarakat dan negara ke arah melahirkan generasi yang lebih baik dan dikagumi. Hentikan keluhan, rintihan, dan rungutan. sebaliknya, gunakan segala pengetahuan, kreativiti, kebijaksanaan, dan pengalaman yang ada ...kerana pandai kita dengan ilmu, bijak kita dengan pengalaman.

Saturday, December 11

Untuk berilmu jalannya berliku....

Untuk berilmu jalannya berliku. Benarlah untuk mendapatkan sesuatu itu perlu dengan usaha dan ia tidak akan datang bergolek begitu sahaja. Sesuai dengan pepatah Melayu “Kalau tidak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” Setiap manusia diciptakan Allah s.w.t dalam keadaan gemilang. Walaubagaimanapun, tugas mencapai kecemerlangan dan kegemilangan diri terletak dibahu setiap orang. Kita perlu berusaha untuk mengenal diri agar kehebatan diri terserlah. Seorang sarjana pernah berkata: “Kehebatan diri seseorang sudah ada dalam dirinya cuma menunggu untuk dikeluarkan sahaja.” Matlamat merupakan sumber kekuatan dan dorongan bagi pelajar. Dengan adanya matlamat yang besar, segala halangan menjadi sangat kecil dan mudah untuk ditempuhi. Pelajar yang mempunyai matlamat dan cita-cita yang jelas akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat itu. JADI ANDA MASIH TIDAK MEMPUNYAI MATLAMAT, FIKIRKAN CITA-CITA ANDA DARI SEKARANG. TENTUKAN SETIAP ORANG MEMPUNYAI CITA-CITA UNTUK MENJADI SEORANG YANG BERJAYA. Oleh itu kepada semua murid yang bakal bergelar murid tahun 6 pada tahun 2011, tetapkan matlamat anda dari sekarang. Agar segala usaha yang dilakukan berlandaskan matlamat dan cita-cita yang diimpikan. INsyaAllah anda akan berjaya…

Saturday, December 4

Tuhan sedang mengajarmu erti ikhlas dan sabar.

Apabila diuji kita mudah buruk sangka dengan Allah, dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah bertujuan menguji kita…. . Ujian hidup adalah ‘guru” yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian yang terkecil mahupun yang terbesar adalah takdir Allah. Jahilnya kita kerana apabila ditimpa ujian sama ada secara langsung daripada Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu. Hakikatnya sebenarnya Allah sedang melatih kita untuk mendaptkan sifat-sifat yang terpuji. Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Sesiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh dan merungut . Oleh itu apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak.

Tuesday, November 30

Hari Anugerah Cemerlang 2010



Hari Anugerah Cemerlang 2010 SK Kampong Daching telah diadakan pada 18. 11. 2010 yang lalu di dewan sekolah. Syukur alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar. Tahniah kepada semua guru yang telah bertungkus lumus mengadakan persiapan majlis tersebut. Sekalung terima kasih juga kepada semua penderma yang menyumbang dalam menjayakan majlis tersebut. Tahniah kepada semua murid yang berjaya mendapat hadiah dalam majlis tersebut. Tahniah juga kepada semua ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak. Tahniah anda ibu bapa cemerlang. Kepada semua Ahli Jawatankuasa PIBG yang diterajui oleh En. Mazley Bin Jamaludin, terima kasih di atas segala sokongan yang padu dalam menjayakan agenda pendidikan di sekolah ini.

Thursday, November 11


Syukur alhamdulillah, kerana dengan limpah dan kurnianya SK Kebangsaan Kampong Daching berjaya memperolehi kejayaan dalam Peperiksaan UPSR Tahun 2010. Bagi cikgu semua murid berjaya walaupun tidak mendapat 5A kerana semuanya telah menyumbang kepada peratusan keseluruhan sekolah. Di samping itu menyumbang kepada gred purata sekolah. Bagi murid yang berjaya mendapat 5A teruskan kecemerlangan anda. Perjalanan masih lagi jauh. Buktikan kemampuan, bila berada di sekolah menengah nanti. Cikgu akan sentiasa melihat kamu dari jauh. Buktikan kepada cikgu bahawa murid-murid Sekolah Kebangsaan Kampung Daching sememangnya hebat.