Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Saturday, December 31

IMBASAN TAHUN 2011.........

Banyak juga kejayaan yang telah dikecapi dalam tahun 2011. Dalam bidang kokurikulum khasnya sekolah telah berjaya melahirkan pelari dalam bidang olahraga setaraf dengan sekolah-sekolah lain. Dalam bidang koakademik pula seorang murid berjaya mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan bercerita peringkat kebangsaan. Pencapaian pasukan bola sepak sekolah juga telah menunjukkan peningkatan yang baik. Skuad muda ini telah berjaya membuktikan bahawa sekolah tidak ketandusan pemain, jika perancangan dijalankan dengan teliti. Dalam bidang akademik juga pencapaian dalam peperiksaan UPSR juga agak baik. Walaupun bilangan yang mendapat 5A hanya 4 orang, tetapi gred purata sekolah ialah 1.76. Ini menunjukkan bahawa semua murid mendapat perhatian yang sama. Tahniah dan syabas juga kepada Muhammad Fikri Bin Norsan, Muhamad Subhan Bin Hedzir , dan Asyraf Ridzuan Bin Anuar Saleh yang berjaya meneruskan pelajaran di sekolah berasarama penuh. Teruskan usaha, semoga lebih berjaya lagi. Tidak lupa juga buat Siti Kamilah Bin Kamal Arifin yang akan meneruskan pelajaran di SMKA di Pedas, teruskan usaha.

Kepada guru-guru, teruskan tekad untuk mendidik anak bangsa. Tingkatkan semangat dalam mengarungi cabaran. Pekerjaan kita bukan hanya untuk mendapatkan hasil, malah akan diberi ganjaran oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Barang siapa yang merasa penat kerana bekerja untuk mencari rezeki yang halal, nescaya terampun segala dosanya". (Riwayat Al-Iman Al Sayuti)

Oleh teruskan ikatan ukhwah, sentiasa bersangka baik serta memberi nasihat-nasihat yang baik . SEMOGA TAHUN 2012 AKAN MEMARTABATKAN DIRI KITA KE ARAH LEBIH BAIK.......

Saturday, December 17

Langkah kejayaan baru bermula....teruskan....



Tahniah kepada Muhammad Fikri Bin Norsan, Muhammad Subhan Bin Hedir dan Asyraf Ridzuan bun Anuar Saleh kerana telah terpilih untuk meneruskan persekolahan diasrama penuh. Fikri dan Subhan akan meneruskan persekolahan di SM Sains Rembau manakala Asyaraf pula di SM Sains Tuanku Jaafar Kuala Pilah. Semoga kejayaan mereka menjadi satu perangsang kepada murid-murid SK Kampong Daching. Kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang berterusan, bak kata pepatah "Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang". Kejayaan harus dikejar dan dicari. Dalam pencarian itu kita akan menempuhi pelbagai onak dan duri. Kita harus paksa diri, bukan manjakan diri jika mahu berjaya.

Friday, December 9

Positifkan diri dengan suasana.....

Kalah atau menang bukanlah urusan kita, tetapi yang penting adalah kemampuan kita untuk mengambil manafaat dari setiap kejadian yang menimpa kita. Walaupun sering ditimpa kegagalan, kita harus sentiasa memiliki semangat untuk bangun semula, berani mengharungi kegagalan. Kita haruslah berani menghadapi tentangan yang berat, untuk meraih kemenangan yang gemilang, walaupun diselingi kegagalan. Oleh itu kita haruslah bersikap positif dengan melakukan usaha yang bersunguh-sungguh. Di samping itu kita haruslah memilih kawan yang bersikap positif, bukannya kawan yang bersikap negatif. Kawan yang positif akan membantu kita menjadi cemerlang , sebaliknya kawan yang bersikap negatif akan mempengaruhi kita untuk bersikap negatif. Jika kita hanya pandai memberi alasan, dalih dan helah untuk menerangkan kenapa kita tidak boleh berjaya dalam melakukan sesuatu sebenarnya itu hanyalah alasan.Daripada Aisyah r.ha, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya . “Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang”.Untuk menjadi berjaya kita haruslah membimbing dan melatih diri kita agar suka beriktiar untuk memantap dan mempertingkatkan prestasi diri bukan sering mencari alasan dan pandai berdolak-dalih. Kata Imam Ghazali, “Rajin ialah penawar paling mujarab dan malas ialah racun yang paling berbisa”.

Sunday, November 20

Sekitar hari Anugerah Cemerlang 2011







Majlis hari Anugerah cemerlang 2011 telah diadakan pada 17. 11. 2011 yang lalu. majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB. Tuan Mustapha Bin Salim iaitu ADUN Kawasan Lenggeng. Dalam majlis tersebut beliau telah berjanji akan menyumbangkan RM3000.00 sempena majlis Anugerah Cemerlang ini. Dalam majlis tersebut adik Siti Kamilah binti Kamal Arifin dan adik Muhammad Fikri bin Norsan telah diumumkan sebagai Tokoh Akademik dan Tokoh Kokurikulum. Masing-masing telah membawa pulang RM100.00 serta plag. Adik Muhammad Fikri juga telah diumumkan sebagai Tokoh Murid bagi tahun 2011. Majlis tersebut telah diserikan lagi dengan persembahan murid-murid Sekolah Kebangsaan Kampong Daching. Bagi ibubapa pula telah diadakan cabutan bertuah.

Keputusan UPSR Tahun 2011



Seramai 4 orang murid telah berjaya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2011. Secara keseluruhannya bilangan murid yang mendapat 5A menurun berbanding pada tahun 2010. Pada tahun 2010 seramai 13 orang murid mendapat 5A berbanding pada tahun 2011 iaitu seramai 4 orang. Gred purata sekolah pula ialah 1.76 iaitu menurun 0.02 daripada tahun 2010 iaitu 1.74. Peratus keseluruhan pula ialah 91.8%.

Sunday, November 6

Mereka juga bernilai....

"Di Kepulauan Solamon petani tidak menebang pokok untuk membuka tanah pertanian tetapi akan memaki hamun pokok tersebut. Lama kelamaan pokok tersebut akan mati." Ungkapan ini sebenarnya mengajar kita untuk berfikir. Sebagai seorang guru mungkin kita tidak sedar bahawa disebalik kelemahan terselit keistimewaan. usaha yang berlipat ganda perlu dicurahkan apabila berdepan dengan murid yang sebegini. Mereka perlukan kasih sayang, perhatian. Sebenarnya mereka sedang menunggu masa untuk diasah. Cuma bezanya ialah mereka mahukan asahan itu dibuat mengikut cara mereka sendiri. Sebagai guru yang prihatin sikap kesederhanaan patut diamalkan. Apabila pujuk rayu dan pujian dibuat, nescaya mereka akan berasa diri mereka dihargai. Kata-kata itulah adalah doa. Oleh itu kita haruslah menggunakan kata-kata yang baik, agar kata-kata kita itu adalah doa untuk mereka. Bukan mudah .....tetapi kita harus mulakan..... . Mulakan dengan tindakan bukan sekadar berkata-kata....

Wednesday, November 2

Buku Program Hari Anugerah Cemerlang 2011



Semua ibu bapa dijemput hadir dalam majlis hari Anugerah Cemerlang 2011 SK Kampong Daching. Persiapan sedang rancak dijalankan. Jika ada ibu bapa atau orang perseorangan yang ingin menderma boleh berhubung dengan pihak sekolah. Marilah kita sama-sama semarakkan Majlis Anugerah Cemerlang ini.