Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Tuesday, February 10

Watikah Pelantikan Pengawas ....

 

                                       
  
Majlis watikah pelantikan bagi pemimpin cilik SKKD telah diadakan pada  hari Isnin, 9 Februari 2015. Majlis bermula dengan penyerahan watikah pelantikan pengawas sekolah di mana Muhd Ariff Khairul Nizam sebagai Ketua Murid dan Siti Maysarah Kamal Arifin sebagai Penolong Ketua Murid. Seterusnya diikuti penyerahan watikah pelantikan bagi pengawas perpustakaan. Adam Norhaja dipilih sebagai Ketua Pengawas Perpustakaan manakala Nurul Sarah Ahmad Lalily sebagai Penolong Ketua Perpustakaan. Dengan adanya majlis watikah pelantikan ini diharap pemimpim yang dipilih ini akan dapat menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin dan dapat menjadi contoh kepada murid-murid lain baik dari segi sahsiah mahupun dari segi pencapaian akademik.



Friday, February 6

Pertandingan Bola Baling Peringkat Daerah Seremban 1


 

Selang dua hari selepas perlawanan sepak takraw MSSDS beraksi, menyusul pula pertandingan bola baling peringkat daerah Seremban 1. Sekolah telah menghantar pasukan bola baling lelaki dan perempuan ke pertandingan tersebut yang diadakan di padang SK Seri Kelana, Seremban. Juga senasib dengan pasukan sepak takraw, pasukan bola baling hampa untuk meraih sebarang pingat walaupun telah beraksi dengan sedaya upaya dalam pertandingan tersebut. Mungkin belum ada nasib agaknya. Namun tahniah diucapkan kepada jurulatih dan pengurus pasukan bola baling iaitu Puan Siti Fatimah, Puan Sharifah Munirah, Puan Siti Hawa dan Ustaz Fadzil yang telah berusaha untuk melatih pasukan sekolah ini. Jangan berputus asa, cuba lagi pada masa akan datang.

Pertandingan Sepak Takraw MSSD Seremban 1


Sekolah telah menghantar dua pasukan sepak takraw dalam pertandingan di peringkat daerah Seremban 1, MSSDS yang diadakan di Stadium Paroi pada 2 Februari 2015. Setelah berhempas pulas, namun pasukan sekolah hanya mampu bertahan hingga,ke pusingan ketiga sahaja dan gagal masuk ke pusingan akhir. Walaubagaimanapun, tahniah diucapkan kepada guru pembimbing bagi pasukan sepak takraw sekolah, En Mohd Fadzil dan Encik Ahmad Zuraidi kerana telah melatih pasukan sekolah, namun rezeki tidak berpihak kepada pasukan sekolah. Teruskan melatih pasukan sepak takraw sekolah untuk kejayaan pada tahun hadapan pula.

Tuesday, January 27

Sambutan Maulidur Rasul- Sederhana..



Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang merupakan program pertama sekolah sejak mula dibuka, telah diadakan pada hari Isnin, 26 Januari 2015 yang lalu. Walaupun agak lewat disambut, namun memikirkan kepentingannya memupuk kecintaan mengingati hari kelahiran junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. dalam kalangan anak didik, maka majlis tersebut diadakan juga secara sederhana. Pihak sekolah telah menjemput penceramah undangan iaitu Ustaz Muzammil Solihen bin Musa, mantan imam masjid Mantin untuk  memberikan ceramah berkaitan sirah Nabi Muhammad. Persembahan nasyid daripada murid tahap dua memeriahkan lagi majlis tersebut. Tahniah kepada Panitia Agama Islam yang telah berjaya menjalankan program tersebut. Diharap dengan adanya program ini, kita akan dapat mencontohi akhlak rasulullah dan memperbaiki akhlak kita semua  ke arah yang lebih baik lagi.





Monday, January 19

Selamat Datang 2015.....

  

Tahun baru 2015  kini  menjelang tiba. Kehadirannya disambut gembira oleh semua murid dan guru SK Kampong Daching. Persekolahan pada tahun ini  bermula pada 12 Januari 2015 selepas waktu penangguhan yang sepatutnya pada 5 Januari 2015. Jumlah murid pada tahun ini ialah seramai 210 orang termasuk murid prasekolah. Tahun enam yang seramai 40 orang murid telah dipecahkan kepada dua kelas. Guru-gurunya pula seramai 19 orang termasuk seorang guru Bahasa Melayu yang baharu iaitu Puan Noranizah binti Omar. Warga sekolah mengalu-alukan kehadiran beliau dan berharap dapat memberi komitmen yang terbaik kepada sekolah terutamanya murid-murid tahun enam.
       Pada hari Selasa, 13 Januari 2015, murid-murid telah menerima wang bantuan awal persekolahan daripada kerajaan Malaysia. Ibu bapa murid hadir pada majlis penyerahan wang tersebut yang diadakan di dewan sekolah. Pihak sekolah berharap agar wang tersebut dapat digunakan ibu bapa murid untuk membeli kelengkapan sekolah dan buku-buku tambahan  anak-anak mereka. Pihak sekolah juga berharap pada tahun ini akan mendatangkan kejayaan yang lebih cemerlang kepada murid-murid sekolah terutamanya dalam pencapaian UPSR . Sama-samalah kita berusaha merealisasikannya.



Wednesday, November 26

Majlis Hari Anugerah Cemerlang 2014



 


Majlis Hari Anugerah Cemerlang yang merupakan acara kemuncak  dan penutup program sekolah telah diadakan pada 20 November 2014 dan berjaya dijalankan dengan penuh warna-warni. Majlis tersebut dirasmikan oleh YAB Dato' Hj Abu Ubaidah bin Dato' Hj Mohd Redza. Jika tahun sebelum ini, pada majlis tersebut, keputusan UPSR telah diumumkan namun pada tahun ini keputusan UPSR agak lewat sedikit. Murid-murid yang telah berjaya dalam peperiksaan akhir tahun dan yang cemerlang dalam kokurikulum telah menerima hadiah pada hari tersebut. Pelbagai persembahan yang menarik daripada murid-murid sekolah turut dipersembahkan kepada para tetamu yang hadir. Anugerah Terbaik Kokurikulum 1M1S telah disandang oleh Muhammad Aiman bin Ghazali, manakala Anugerah Terbaik Kokurikulum Koakademik, Anugerah Terbaik Akademik dan Tokoh Murid 2014 telah disandang oleh Nursalina binti Ibrahim. Tahniah kepada murid-murid yang telah berjaya menerima hadiah dan tahniah juga kepada semua guru yang telah bertungkus-lumus menjayakan progam Hari Anugerah Cemerlang yang telah dapat dijalankan dengan lancarnya.

Thursday, November 20

Anda semua hebat.....

Tahniah kepada semua murid tahun 6. Anda semua segak serta penuh bergaya. Semoga pengalaman memakai jubah ini akan menjadi satu perangsang dalam diri untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Cikgu berharap agar semua akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Semasa di sekolah menengah nanti, belajarlah bersungguh-sungguh dan jagalah peribadi.  Apa juga keputusan UPSR pada 26hb. Ini, jadikanlah penyuntik semangat untuk berjaya. Halakan azam ke hadapan, nescaya kejayaan akan menyusul! ....Salam kasih sayang buat semua......