Sekolah telah menghantar pasukan nasyid yang diwakili seramai 9 orang murid lelaki tahap 2 ke Pesta Nasyid peringkat daerah Seremban 1 yang diadakan di SMK Dato' Klana Putra, Lenggeng. Pasukan nasyid sekolah yang dibimbing oleh Ustazah Nurasyikin, Ustazah Nurul Ashikin dan Ustaz Fadzil terpaksa bersaing dengan seramai 15 pasukan nasyid yang lain. Nasib tidak menyebelahi pasukan ini dan gagal memperoleh kejayaan walaupun telah berusaha sehabis baik. Diharap pengalaman yang diperoleh ini akan menjadi pendorong kepada para peserta untuk berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai kejayaan pada masa yang akan datang. Tahniah kepada guru-guru pembimbing serta guru-guru yang lain yang telah memberi kerjasama kepada pasukan nasyid sekolah. Gagal sekali tidak bermakna gagal buat selama-lamanya. Berusaha dan teruslah berusaha sehingga berjaya.
Wednesday, April 29
Pertandingan Sahibba Peringkat Daerah Seremban 1.. Tempat Johan dan Ketiga
Hendak mengekalkan gelaran Juara Kebangsaan yang telah dicapai oleh sekolah ini pada tahun lepas memang amat sukar untuk dilaksanakan. Beban yang terpaksa dipikul oleh dua orang peserta Sahibba iaitu Nurul Syifa dan Nurul Sarah yang menyertai Pertandingan Sahibba peringkat Seremban 1 di SJKT Tun Sambanthan pada 28 April 2015 akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya apabila mereka memenangi pertandingan tersebut dan menewaskan 48 orang peserta dari sekolah lain. Tahniah kepada Nurul Syifa yang telah mendapat tempat Johan manakala Nurul Sarah mendapat tempat Ketiga. Kedua-dua mereka akan mewakili daerah Seremban1 ke peringkat negeri pada 12 Mei 2015 di SMK Jelai(F) . Diharap mereka akan berusaha dengan lebih gigih lagi agar mencapai tempat Johan di peringkat negeri pula bagi melayakkan mereka pergi ke peringkat kebangsaan. Bersama-samalah kita berdoa agar mereka akan berjaya dan mengembalikan gelaran Juara Kebangsaan.
Program Membaca Serentak 1 Malaysia
Tanggal 27 April 2015, seluruh sekolah di negara ini telah menjalankan aktiviti membaca serentak 1 Malaysia selama 2015 minit bermula jam 9.30 pagi.Program di bawah kelolaan Pusat Sumber ini diadakan di dewan sekolah. Semua guru dan murid telah membaca pelbagai bahan bacaan secara serentak setelah menerima isyarat siren daripada guru besar di atas pentas. Apa yang diharapkan daripada program ini adalah warga sekolah ini akan dapat meneruskan budaya membaca mereka walau di mana mereka berada kerana membaca itu adalah gedung ilmu.
Program Kecergasan Peringkat Sekolah Bersama Tenaga Pengajar PLKN, Mantin..
Program Kecergasan telah berlangsung di sekolah ini pada 22 April 2015, bermula jam 8 hingga 9 pagi di dewan sekolah. Semua guru dan murid terlibat dalam program tersebut. Merancakkan lagi program itu, pihak sekolah telah menjemput tenaga pengajar dari PLKN yang seramai hampir dua puluh orang untuk membimbing mereka. Tenaga pengajar PLKN tersebut telah menjalankan aktiviti senamrobik yang diiringi dengan alunan muzik. Aktiviti yang berlangsung selama satu jam itu nampaknya telah dapat mencapai objektif dan berjaya membantu warga sekolah ini dalam usaha mencergaskan diri dan mengeluarkan peluh. Semua guru dan murid berasa teruja dan seronok dapat melakukan senamrobik bersama pembimbing yang berpengalaman ini. Diharap program yang dijalankan ini akan dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang.
Thursday, April 23
Pertandingan Bercerita BM Sempena Hari Buku Sedunia- Tempat Ketiga..
Pada 22 April 2015, sekali lagi sekolah telah menghantar peserta bercerita tahap dua ke pertandingan bercerita. Kali ini di Perpustakaan Awam Negeri Sembilan di Seremban sempena Hari Buku Sedunia. Peserta yang terlibat ialah Luqman Hakim bin Ahmad Zuraidi dan Muhammad Amirul Aiman bin Amran. Alhamdulillah, salah seorang daripada peserta tersebut telah berjaya mendapat tempat ketiga iaitu Muhammad Amirul Aiman. Tahniah diucapkan kepada Aiman kerana berjaya mengharumkan nama sekolah walaupun berlatih cuma sehari sahaja sebelum pertandingan tersebut dijalankan. Sementara Luqman hanya mendapat saguhati sahaja. Kepada Luqman, berusaha lagi untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.
Monday, April 20
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Tahniah Encik Ahmad Zuraidi dan Pn Nurashikin...
Tahniah diucapkan kepada dua orang guru SK Kampong Daching yang telah tercalon untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2014. Beliau ialah Encik Ahmad Zuraidi bin Abd Wahab, guru Bahasa Inggeris dan Puan Nurashikin binti Abdul Malik, guru Bahasa Arab. Mereka telah menerima anugerah ini pada 16 April 2015 di Alson Klana Resort. Diharap semoga dengan penerimaan anugerah ini akan dapat menambahkan lagi kecemerlangan mereka dalam menjalankan tugas sebagai pendidik yang dapat menghasilkan murid yang lebih cemelang baik dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum.
Sunday, April 19
Pesta Pantun Peringkat Negeri Sembilan....
Pada 16 April 2015, pasukan pemantun sekolah telah pergi ke SMK Bandar Baru Serting bagi menyertai Pesta Pantun Peringkat Negeri Sembilan. Sebanyak 8 pasukan dari seluruh daerah di Negeri Sembilan telah bertarung bagi menjuarai pertandingan yang diadakan. Namun pasukan sekolah tidak bernasib baik kerana telah kalah pada pusingan pertama apabila bertemu dengan pasukan pemantun dari daerah Seremban 2 iaitu SK Panchor. SK Panchor ternyata hebat kerana telah menjuarai pertandingan pantun itu setelah dapat mengalahkan dua lagi pasukan iaitu dari daerah Port Dickson dan Jempol. Begitulah adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Walau bagaimanapun tahniah kepada pasukan pemantun sekolah kerana telah berjaya sampai ke peringkat negeri.Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Tahniah atas kerja keras peserta bagi menghadapi cabaran dalam pertandingan ini.
Bunga kekwa penghias dinding,
Digubah Cik Nyonya di hari Selasa ,
Jangan kecewa kalah bertanding,
Sudah takdirnya yang maha esa.
Subscribe to:
Posts (Atom)














