Sekolah telah menghantar dua pasukan sepak takraw dalam pertandingan di peringkat daerah Seremban 1, MSSDS yang diadakan di Stadium Paroi pada 2 Februari 2015. Setelah berhempas pulas, namun pasukan sekolah hanya mampu bertahan hingga,ke pusingan ketiga sahaja dan gagal masuk ke pusingan akhir. Walaubagaimanapun, tahniah diucapkan kepada guru pembimbing bagi pasukan sepak takraw sekolah, En Mohd Fadzil dan Encik Ahmad Zuraidi kerana telah melatih pasukan sekolah, namun rezeki tidak berpihak kepada pasukan sekolah. Teruskan melatih pasukan sepak takraw sekolah untuk kejayaan pada tahun hadapan pula.
Friday, February 6
Tuesday, January 27
Sambutan Maulidur Rasul- Sederhana..
Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang merupakan program pertama sekolah sejak mula dibuka, telah diadakan pada hari Isnin, 26 Januari 2015 yang lalu. Walaupun agak lewat disambut, namun memikirkan kepentingannya memupuk kecintaan mengingati hari kelahiran junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. dalam kalangan anak didik, maka majlis tersebut diadakan juga secara sederhana. Pihak sekolah telah menjemput penceramah undangan iaitu Ustaz Muzammil Solihen bin Musa, mantan imam masjid Mantin untuk memberikan ceramah berkaitan sirah Nabi Muhammad. Persembahan nasyid daripada murid tahap dua memeriahkan lagi majlis tersebut. Tahniah kepada Panitia Agama Islam yang telah berjaya menjalankan program tersebut. Diharap dengan adanya program ini, kita akan dapat mencontohi akhlak rasulullah dan memperbaiki akhlak kita semua ke arah yang lebih baik lagi.
Monday, January 19
Selamat Datang 2015.....
Tahun baru 2015 kini menjelang tiba. Kehadirannya disambut gembira oleh semua murid dan guru SK Kampong Daching. Persekolahan pada tahun ini bermula pada 12 Januari 2015 selepas waktu penangguhan yang sepatutnya pada 5 Januari 2015. Jumlah murid pada tahun ini ialah seramai 210 orang termasuk murid prasekolah. Tahun enam yang seramai 40 orang murid telah dipecahkan kepada dua kelas. Guru-gurunya pula seramai 19 orang termasuk seorang guru Bahasa Melayu yang baharu iaitu Puan Noranizah binti Omar. Warga sekolah mengalu-alukan kehadiran beliau dan berharap dapat memberi komitmen yang terbaik kepada sekolah terutamanya murid-murid tahun enam.
Pada hari Selasa, 13 Januari 2015, murid-murid telah menerima wang bantuan awal persekolahan daripada kerajaan Malaysia. Ibu bapa murid hadir pada majlis penyerahan wang tersebut yang diadakan di dewan sekolah. Pihak sekolah berharap agar wang tersebut dapat digunakan ibu bapa murid untuk membeli kelengkapan sekolah dan buku-buku tambahan anak-anak mereka. Pihak sekolah juga berharap pada tahun ini akan mendatangkan kejayaan yang lebih cemerlang kepada murid-murid sekolah terutamanya dalam pencapaian UPSR . Sama-samalah kita berusaha merealisasikannya.
Wednesday, November 26
Majlis Hari Anugerah Cemerlang 2014
Majlis Hari Anugerah Cemerlang yang merupakan acara kemuncak dan penutup program sekolah telah diadakan pada 20 November 2014 dan berjaya dijalankan dengan penuh warna-warni. Majlis tersebut dirasmikan oleh YAB Dato' Hj Abu Ubaidah bin Dato' Hj Mohd Redza. Jika tahun sebelum ini, pada majlis tersebut, keputusan UPSR telah diumumkan namun pada tahun ini keputusan UPSR agak lewat sedikit. Murid-murid yang telah berjaya dalam peperiksaan akhir tahun dan yang cemerlang dalam kokurikulum telah menerima hadiah pada hari tersebut. Pelbagai persembahan yang menarik daripada murid-murid sekolah turut dipersembahkan kepada para tetamu yang hadir. Anugerah Terbaik Kokurikulum 1M1S telah disandang oleh Muhammad Aiman bin Ghazali, manakala Anugerah Terbaik Kokurikulum Koakademik, Anugerah Terbaik Akademik dan Tokoh Murid 2014 telah disandang oleh Nursalina binti Ibrahim. Tahniah kepada murid-murid yang telah berjaya menerima hadiah dan tahniah juga kepada semua guru yang telah bertungkus-lumus menjayakan progam Hari Anugerah Cemerlang yang telah dapat dijalankan dengan lancarnya.
Thursday, November 20
Anda semua hebat.....
Tahniah kepada semua murid tahun
6. Anda semua segak serta penuh bergaya. Semoga pengalaman memakai jubah ini
akan menjadi satu perangsang dalam diri untuk menjadi pelajar yang cemerlang
dalam pelajaran. Cikgu berharap agar semua akan menjadi insan yang berjaya di
dunia dan di akhirat. Semasa di sekolah menengah nanti, belajarlah
bersungguh-sungguh dan jagalah peribadi. Apa juga keputusan UPSR pada 26hb. Ini, jadikanlah
penyuntik semangat untuk berjaya. Halakan azam ke hadapan, nescaya kejayaan
akan menyusul! ....Salam kasih sayang buat semua......
Tuesday, November 18
Anugerah Modal Insan Terbilang N.Sembilan 2014
Tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia,hanya tuhan sahaja yang tahu. Begitulah kejayaan yang telah dicapai oleh adik Nursalina Ibrahim baru-baru ini di mana beliau telah menerima Anugerah Modal Insan Terbilang peringkat Negeri Sembilan. Selayaknya beliau menerima anugerah itu kerana banyak kejayaan yang telah beliau capai sebelum ini yang dapat mengharumkan nama sekolah. Sekalung ucapan tahniah daripada pihak sekolah dan PIBG atas kejayaan yang diraih. Bukan mudah untuk mendapat anugerah tersebut, hanya murid yang terbilang sahaja selayaknya menerima anugerah seperti itu. Teruskanlah mengejar kejayaan dan sebuah kejayaan pastinya memerlukan suatu pengorbanan. Semoga jejakmu menjadi pembakar semangat kepada murid-murid di SK Kampong Daching dan semoga kejayaan terus mengekorimu, Nursalina serta semua warga SKKD.
Thursday, November 13
Majlis Graduasi Tahun Enam 2014
Buat julung-julung kalinya, SK Kampong Daching telah berjaya mengadakan Majlis Graduasi untuk murid-murid tahun enam. Majlis yang disambut dengan meriah itu telah diadakan di Hotel Nilai. Semua murid tahun enam, guru-guru dan beberapa orang wakil PIBG turut hadir dalam majlis tersebut. Walaupun baru pertama kali majlis itu diadakan, namun ia dapat dikendalikan dengan lancar dan meriah, berkat kerjasama yang padu daripada warga guru, pekerja sekolah dan AJK PIBG yang diterajui oleh Puan Siti Fatimah binti Wahab. Semua yang menghadiri majlis tersebut kelihatan begitu teruja dan gembira sekali terutama bagi murid-murid tahun enam yang akan meninggalkan sekolah tidak lama lagi.Majlis ini memberikan pengalaman baharu dan motivasi kepada mereka agar terus berusaha dalam mengejar cita-cita mereka.
Subscribe to:
Posts (Atom)
















