Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Tuesday, August 18

Pendaftaran Prasekolah Sesi 2016 Untuk Kanak-kanak Berumur 5-6 Tahun..


Pendaftaran Prasekolah telah mula dibuka sekarang kepada kanak-kanak yang berumur 5 hingga 6 tahun iaitu bagi anak-anak yang lahir pada tahun 2011 dan 2012.  Oleh yang demikian, pihak sekolah sangat mengalu-alukan ibu bapa yang mempunyai anak yang layak mendaftar untuk datang ke sekolah pada waktu pejabat untuk mengambil borang permohonan Prasekolah serta membawa dokumen-dokumen seperti berikut:

           1. salinan sijil lahir anak
           2. salinan kad pengenalan ibu bapa/ penjaga
           3. salinan hak penjagaan ( jika ibu bapa bercerai)
           4. salinan penyata gaji ibu bapa/ penjaga
           5. gambar berukuran pasport anak  (4 keping)
           6. salinan bil utiliti (bil air /api/ astro / telefon)
           7. sampul surat bersetem RM0.60

Pendaftaran akan dibuka sepanjang masa namun ibu bapa diharap dapat datang secepat mungkin kerana pengambilan murid tidak melebihi 25 orang. Ibu bapa yang lewat mendaftar tidak akan diterima jika murid sudah mencukupi bilangannya.

Datanglah mendaftar di Prasekolah SK Kampong Daching kerana anak-anak tuan puan akan mendapat banyak kelebihan. Antaranya, ibu bapa hanya membayar yuran pendaftaran sahaja iaitu bagi pembelian baju serta alat tulis, sementara perkara-perkara yang lain adalah percuma terutamanya makan minum dan lain-lain lagi. Guru-guru prasekolah juga merupakan guru yang terlatih dalam membimbing kanak-kanak mencapai penguasaan membaca, menulis, mengira dan menakkul.





Tuesday, August 11

Sambutan Hari Raya Peringkat Sekolah




 

 
                                      
                                     
Walaupun dalam keadaan sibuk membuat persiapan peperiksaan UPSR, namun sekolah masih sempat lagi mengadakan majlis sambutan hari raya peringkat sekolah. Majlis tersebut diadakan pada hari Jumaat, 10 Ogos 2015 bermula jam 10.15 pagi sehingga 12.30 tengah hari di dewan sekolah. Semua murid dan guru membawa juadah hari raya masing-masing dan menjamu selera bersama-sama di samping diselitkan selingan lagu-lagu Hari Raya bagi menyerikan majlis tersebut. Walaupun diadakan secara sederhana namun  ia meriah. Dengan adanya majlis sambutan Hari Raya ini dapat merapatkan hubungan warga sekolah di samping dapat  bertukar-tukar juadah hari raya. 

Thursday, August 6

Pertandingan Tokoh Nilam Peringkat PKG Mantin...Tempat Ketiga




Sekolah telah menghantar dua orang peserta ke pertandingan Tokoh Nilam peringkat PKG Mantin pada 29 Julai 2015 yang lalu mengikut kategori masing-masing. Peserta yang terlibat ialah Siti Nurnabihah binti Mohd Noor bagi kategori Bahasa Melayu dan Luqman Hakim bin Ahmad Zuraidi bagi kategori Bahasa Inggeris. Mereka telah menjalani pelbagai saringan secara lisan dan bertulis sebelum dipilih sebagai pemenang. Siti Nurnabihah telah memenangi tempat ketiga dalam kategori Bahasa Melayu manakala Luqman Hakim tidak berjaya memenangi hadiah bagi kategori Bahasa Inggeris. Siti Nurnabihah layak ke pertandingan Tokoh Nilam peringkat daerah yang akan diadakan bulan Ogos nanti. Semoga peserta sekolah ini akan terus berjaya hendaknya di peringkat daerah nanti. 

Wednesday, July 29

Program Sepanjang Bulan Ramadhan ...

Panitia agama Islam telah mengadakan pelbagai program sepanjang bulan Ramadhan ini. Antaranya mengadakan majlis tadarus Al-Quran sepanjang bulan Ramadhan. Murid-murid telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dibantu oleh guru-guru pembimbing mereka untuk membaca Al-Quran mengikut bilangan juzuk yang telah ditetapkan. Mereka menjalankan tadarus ini pada waktu pagi sebelum perhimpunan dan pada waktu rehat di surau sekolah. Bagi murid yang belum boleh membaca  Al-Quran, mereka membaca Iqrak di dewan sekolah . Selain itu, majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan miskin juga diadakan di kantin sekolah. Seramai lebih kurang 30 orang murid yang terlibat dalam majlis itu. Mereka diraikan dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama guru-guru di sekolah ini. Mereka juga turut bersembahyang magrib berjemaah di surau sekolah. Seterusnya, program terakhir yang diadakan sepanjang bulan Ramadhan ialah Majlis Khatam Al-Quran, pemberian duit raya serta bantuan pakaian dan barang keperluan hari raya turut diadakan sebelum Hari Raya menjelang tiba. Majlis tersebut diadakan di dewan sekolah sehari sebelum cuti Hari Raya. Majlis khatam Al-Quran diketuai oleh Ustaz Mohd Fadzil bin Abdullah. Setelah selesai majlis khatam Al-Quran, acara memberian wang saguhati kepada murid-murid yang terlibat dalam program tadarus Al-Quran diadakan. Kemudian, acara pemberian duit raya, baju raya serta barang-barang keperluan raya kepada murid-murid yatim dan miskin. Wang serta barang-barang tersebut adalah sumbangan daripada ibu bapa, guru-guru serta para penderma yang telah bermurah hati menderma kepada murid-murid di sekolah ini. Tahniah kepada Panitia Agama Islam serta semua warga SKKD yang telah terlibat bagi menjayakan program sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga mendapat keberkatan daripada Allah. Amin..




 





Pencapaian UPKK 2014 Meningkat ....Tahniah !!!

Alhamdulillah, pencapaian UPKK 2014 sekolah ini meningkat bilangan murid yang mendapat 8A iaitu seramai 4 orang berbanding pada tahun sebelumnya seramai 2 orang sahaja. Antara murid yang cemerlang tersebut ialah Luqman Hakim bin Fareed, Muhd Ariff bin Khairul Nizam, Nurul Syifa Ahmad Laily dan Nursyafiqah binti Zulkefli. Murid mendapat 7A ialah Nurul Sarah Ahmad Laily , murid mendapat 6A ialah Muhd Iqmal Firdaus dan Nurul Shuhada binti Ramli manakala murid mendapat 5A ialah Nursulaiha binti Zamri. Tahniah kepada guru-guru KAFA atas usaha untuk mencapai kecemerlangan ini dan  tahniah juga  kepada murid-murid yang berjaya dan diharap dapat meneruskan kecemerlangan kalian dalam UPSR 2015  pula.. 


Thursday, June 18

KARNIVAL BAHASA MELAYU PERINGKAT NEGERI


Karnival Bahasa Melayu peringkat negeri telah diadakan di SK Bandar Baru Serting, Jempol pada 16 Jun 2015 yang lalu. Sekolah telah menghantar wakil dalam pertandingan bercerita BM Tahap 1 iaitu adik Iman Khadeeja binti Shahrizal. Seramai 16 orang peserta yang menjadi johan dan naib johan daerah masing-masing telah bertanding. Persaingan memang sengit. Adik Iman Khadeeja telah menunjukkan persembahan yang cukup baik namun nasib tidak menyebelahinya dan gagal mendapat sebarang kemenangan.  Walau bagaimanapun tahniah kepada adik Iman Khadeeja kerana telah sampai ke tahap negeri. Jangan berputus asa. Cuba lagi pada tahun hadapan.


Monday, June 1

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH

 




Hari Guru telah disambut meriah oleh warga SKKD pada 27 Mei 2015 dimulai dengan bacaan Yassin oleh semua guru dan murid di dewan sekolah. Selepas ucapan guru besar dan wakil murid, Siti Maysarah, aktiviti sukaneka diadakan di padang sekolah. Pelbagai aktiviti permainan diadakan melibatkan semua guru yang dikendalikan oleh murid tahun 6 dan ditonton oleh semua murid. Setelah selesai acara di padang, semua guru dan murid berada di dalam dewan bagi menyaksikan beberapa persembahan daripada murid-murid seperti tarian, deklamasi sajak, nyanyian dan sebagainya. Pada petangnya pula, semua guru menjamu selera di salah sebuah restoran di Seremban. Diharap dengan adanya sambutan Hari Guru ini akan dapat  merapatkan hubungan antara guru-guru
dan semua murid di sekolah ini dan dapat menaikkan semangat guru-guru terhadap tugas dan tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik.