Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Monday, September 28

Sambutan Penutupan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah













Tanggal 18 September 2015, sekolah telah mengadakan sambutan Penutupan Bulan Kebangsaan yang pada perancangan awalnya disambut pada 15 September 2015 yang diumumkan cuti kerana jerebu. Pelbagai acara telah dijalankan pada hari tersebut  kecuali acara Kayuhan Merdeka yang dirancang terpaksa dibatalkan  kerana jerebu. Antara pertandingan yang diadakan adalah seperti pertandingan mewarna bagi murid tahap 1, pertandingan mendeklamasikan sajak bagi murid tahap 2, kuiz kemerdekan, pertandingan pakaian patriotik, pertandingan hiasan basikal patriotik, pertandingan koir patriotik dan kelas patriotik. Program tersebut berjalan dengan meriah sekali. Dengan adanya program tersebut diharap dapat menanamkan perasaan cinta murid kepada negara serta dapat mencungkil bakat murid dalam pelbagai bidang. Tahniah dan syabas kepada semua warga SKKD yang telah berjaya menguruskan program tersebut dengan jayanya.  



Tuesday, September 8

Selamat Menjawab Kertas UPSR, Semoga Berjaya.....






Hari ini adalah merupakan hari yang ditunggu-tunggu dan hari bersejarah bagi murid-murid tahun enam. Mereka akan menghadapi peperiksaan UPSR. Ramai ibu bapa yang juga hadir ke sekolah untuk memberi sokongan kepada anak-anak mereka. Turut hadir pada hari tersebut iaitu YDP PIBG, Encik Amran bin Bakar. Beliau sempat memberikan kata-kata semangat dan tip-tip menjawab soalan kepada bekas murid beliau tersebut . Sehari sebelum itu, sekolah mengadakan acara memohon restu di mana murid-murid tahun enam bersalaman dengan semua guru di sekolah ini untuk memohon keberkatan ilmu. Semoga tahun terakhir UPSR ini akan dapat menghasilkan ramai murid yang berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Bersama-samalah kita berdoa agar apa yang diharapkan menjadi kenyataan.

Monday, September 7

Program Bacaan Yassin Perdana Untuk UPSR









Peperiksaan UPSR semakin hampir. Sekolah telah menjalankan program terakhir sebelum murid-murid menduduki peperiksaan tersebut iaitu Program Bacaan Yassin Perdana dan Solat Hajat. Program tersebut telah diadakan pada 4 September 2015 bersamaan hari Jumaat malam. Alhamdulillah, sambutan daripada ibu bapa murid amat menggalakkan. Acara dimulakan dengan sembahyang Maghrib berjemaah, tazkirah persiapan menghadapi peperiksaan daripada ustaz jemputan,solat Isyak dan solat Hajat. Kemudian semua jemputan menjamu selera dengan hidangan yang telah disediakan di kantin sekolah.  Semoga dengan adanya program ini, murid-murid akan dapat menjawab soalan UPSR dengan tenang dan mudah serta berjaya mencapai kejayaan yang diharapkan. Bersama-samalah kita berdoa agar peperiksaan UPSR kali ini dapat dihadapi oleh murid-murid dengan mudah dan mencapai kejayaan yang cemerlang. 

Tuesday, August 25

Perjumpaan Penjaga Tahun 6 Kali Ke-3

                                 
 


Pada 24 Ogos 2015 telah diadakan perjumpaan penjaga tahun 6 kali yang ke-3 di dewan sekolah. Tujuan diadakan perjumpaan tersebut adalah supaya ibu bapa dapat melihat kemajuan anak-anak atau masalah yang dihadapi oleh mereka serta berbincang bagaimana untuk  menangani masalah yang dihadapi  anak-anak mereka. Dalam perjumpaan tersebut juga, ibu bapa boleh berjumpa dengan guru-guru yang mengajar anak-anak mereka bagi membincangkan masalah pembelajaran yang dihadapi. Murid-murid yang dapat meningkatkan prestasi pelajaran mereka juga diberi hadiah saguhati berupa wang sumbangan PIBG sebagai langkah memberi motivasi kepada mereka. Diharap dengan adanya perjumpaan penjaga murid tahun 6 ini, ibu bapa dapat memberi galakan dan semangat kepada anak-anak mereka dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR.

Kem Bestari Solat




Kem Bestari Solat telah berjaya dijalankan pada15 Ogos 2015. Semua murid SK Kampong Daching terlibat dalam program yang dianjurkan oleh Panitia Agama Islam itu. Selain guru agama, guru-gura kelas KAFA serta guru-guru SKKD juga turut terlibat  membimbing murid-murid dalam menjalankan amali solat, berwuduk,  bertayamum serta lain-lain yang berkaitan dengannya. Alhamdulillah, program yang bermula jam 7.30 pagi ini selesai dijalankan menjelang tengah hari. Tahniah kepada Panitia Agama Islam serta terima kasih atas kerjasama guru-guru yang lain kerana telah berjaya menjalankan Kem Bestari Solat ini. Diharap program ini dapat memberi didikan solat yang sempurna kepada murid-murid di sekolah ini serta dapat mereka mengamalkannya dalam kehidupan mereka seharian.


Tuesday, August 18

Pendaftaran Prasekolah Sesi 2016 Untuk Kanak-kanak Berumur 5-6 Tahun..


Pendaftaran Prasekolah telah mula dibuka sekarang kepada kanak-kanak yang berumur 5 hingga 6 tahun iaitu bagi anak-anak yang lahir pada tahun 2011 dan 2012.  Oleh yang demikian, pihak sekolah sangat mengalu-alukan ibu bapa yang mempunyai anak yang layak mendaftar untuk datang ke sekolah pada waktu pejabat untuk mengambil borang permohonan Prasekolah serta membawa dokumen-dokumen seperti berikut:

           1. salinan sijil lahir anak
           2. salinan kad pengenalan ibu bapa/ penjaga
           3. salinan hak penjagaan ( jika ibu bapa bercerai)
           4. salinan penyata gaji ibu bapa/ penjaga
           5. gambar berukuran pasport anak  (4 keping)
           6. salinan bil utiliti (bil air /api/ astro / telefon)
           7. sampul surat bersetem RM0.60

Pendaftaran akan dibuka sepanjang masa namun ibu bapa diharap dapat datang secepat mungkin kerana pengambilan murid tidak melebihi 25 orang. Ibu bapa yang lewat mendaftar tidak akan diterima jika murid sudah mencukupi bilangannya.

Datanglah mendaftar di Prasekolah SK Kampong Daching kerana anak-anak tuan puan akan mendapat banyak kelebihan. Antaranya, ibu bapa hanya membayar yuran pendaftaran sahaja iaitu bagi pembelian baju serta alat tulis, sementara perkara-perkara yang lain adalah percuma terutamanya makan minum dan lain-lain lagi. Guru-guru prasekolah juga merupakan guru yang terlatih dalam membimbing kanak-kanak mencapai penguasaan membaca, menulis, mengira dan menakkul.





Tuesday, August 11

Sambutan Hari Raya Peringkat Sekolah




 

 
                                      
                                     
Walaupun dalam keadaan sibuk membuat persiapan peperiksaan UPSR, namun sekolah masih sempat lagi mengadakan majlis sambutan hari raya peringkat sekolah. Majlis tersebut diadakan pada hari Jumaat, 10 Ogos 2015 bermula jam 10.15 pagi sehingga 12.30 tengah hari di dewan sekolah. Semua murid dan guru membawa juadah hari raya masing-masing dan menjamu selera bersama-sama di samping diselitkan selingan lagu-lagu Hari Raya bagi menyerikan majlis tersebut. Walaupun diadakan secara sederhana namun  ia meriah. Dengan adanya majlis sambutan Hari Raya ini dapat merapatkan hubungan warga sekolah di samping dapat  bertukar-tukar juadah hari raya.