Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Monday, October 13

Karnival Puisi Tradisional Peringkat Kebangsaan






Tahniah kepada semua murid dan guru yang telah berusaha sehingga mencapai kejayaan yang amat cemerlang dalam semua acara yang disertai dalam pertandingan Puisi Tradisional Peringkat Kebangsaan di SK Seremban 2B pada 11 Oktober 2014 yang lalu. Antara kejayaan yang diraih ialah naib johan dalam Pertandingan Pantun, mendapat hadiah Pemantun Terbaik oleh adik Nur Anis Najwa, ketiga dalam pertandingan Syair oleh adik Nur Faziedatul Aina Fahmi Bassa dan tempat ketiga dalam Pertandingan Seloka.  Untuk berjaya bukanlah mudah kerana cabarannya memang hebat. Hal ini kerana sekolah-sekolah yang menyertai pertandingan ini adalah dari sekolah kluster dari negeri-negeri Zon Tengah. Antaranya seperti  Negeri Sembilan (SK Puteri,SK Seremban 2B,SK Seliau,SK Chengkau), Pahang, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur. Usaha tangga kejayaan. Syabas dan tahniah daripada pihak sekolah atas kemenangan yang dicapai ini. 

                                                                                                     Dicatat oleh Puan Hajah Siti Mariyam 





Wednesday, October 8

Sambutan Penutupan Hari Merdeka Peringkat Sekolah





Alhamdulillan, sambutan Hari Kemerdekaan berjaya disambut walaupun agak lewat dari tarikh yang sepatutnya diadakan. Ini memandangkan peperiksaan UPSR dijalankan pada masa tersebut. Pelbagai acara telah berjaya dijalankan. Antaranya seperti pertandingan mewarna dan melukis poster, pertandingan pakaian beragam, kuiz kemerdekaan, pertandingan nyanyian lagu patriotik dan sebagainya.Bersesuaian dengan tema Hari Kemerdekaan ke 57 iaitu  "Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" nampaknya murid-murid begitu menghayati sambutan tersebut dengan membawa bendera dan bersemangat menyanyikan lagu Tanggal 31. Diharap dengan adanya majlis ini akan menambahkan lagi  kecintaan kita terhadap negara ini.

                                                                                                    Laporan oleh Puan Hajah Siti Mariyam

Thursday, September 11

Peperiksaan UPSR Bermula....


Tanggal 9 September 2014 bermulanya peperiksaan UPSR bagi 28 orang murid tahun 6 di SK Kampong Daching dan di semua sekolah rendah di negara ini. Pelbagai persiapan telah dilakukan oleh semua murid dan guru untuk mencapai target sekolah dalam peperiksaan tersebut. Apa yang diharapkan ialah semoga murid-murid  dapat menjawab soalan UPSR dengan baik dan mendapat keputusan yang cemerlang nanti.Aamiin..

                                                                                                            Dicatat oleh Pn Hjh Siti Mariyam 

Sunday, September 7

Program Bacaan Yassin Perdana


 



Majlis Bacaan Yassin Perdana telah diadakan pada 5 September 2014 di surau SK Kampong Daching sebagai usaha terakhir pihak sekolah kepada murid-murid tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan UPSR pada 9,10 dan 11 September 2014 ini dan juga untuk murid-murid tahun 5 yang akan menghadapi peperiksaan UPKK. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah guru besar, En. Shamsuddin Mohamad, YDP PIBG, En. Mazley Jamaludin, GPK-GPK , guru-guru dan murid-murid tahun 5 dan 6 berserta ibu bapa mereka. Antara aktiviti yang diadakan pada hari tersebut ialah bersembahyang maghrib berjemaah, tazkirah keibubapaan daripada ustaz undangan, solat Isyak dan solat hajat berjemaah. Sebelum bersurai,  tetamu dijamu  dengan jamuan nasi dan lauk-pauk yang dibawa oleh ibu bapa murid-murid. Diharap dengan adanya program ini akan dapat memberi kemudahan kepada murid-murid tahun 5 dan 6 menjawab soalan peperiksaan UPSR dan UPKK itu nanti, insya-Allah, Aamiin. 
                                                                                                             
                                                                                                            Dicatat oleh Pn Hjh Siti Mariyam

Monday, August 18

Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri


Dua orang peserta sekolah telah menyertai Karnival Bahasa peringkat negeri di SK Tunku Abdul Rahman, Gemas. Mereka ialah Lokman Hakim Ahmad Zuraidi (bercerita BM  tahap 2) dan Siti Maysarah Kamal Arifin (pidato). Mereka telah menunjukkan persembahan yang terbaik semasa pertandingan namun nasib tidak menyebelahi mereka dan gagal meraih  sebarang pingat. Pesaing dari daerah lain memang hebat-hebat belaka. Tahniah daripada pihak sekolah kepada adik Lokman dan Siti Maysarah yang telah berjaya sampai ke peringkat negeri  kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini.Jangan kecewa, pada tahun hadapan diharap boleh mencuba nasib lagi. Teruslah berusaha untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.

                                                                                                         Dicatat oleh Pn Hjh Siti Mariyam



Majlis Sambutan Hari Raya Peringkat Sekoloah





Pada 25 Julai 2014, majlis sambutan Hari Raya peringkat sekolah telah berjaya diadakan bertempat di dewan sekolah ini. Majlis tersebut disambut secara sederhana sahaja tetapi meriah. Murid-murid  dan guru-guru membawa kuih-muih dari rumah dan menyusunnya di atas meja yang disediakan di dalam dewan mengikut  kelas masing-masing. Dengan adanya majlis ini diharap akan dapat merapatkan hubungan silaturahim  antara guru-guru dengan murid-murid di sekolah ini.
                                                                                                             Dicatat oleh Pn Hjh Siti Mariyam

Tuesday, August 12

Program Khatam Al-Quran dan Sumbangan Duit Raya






Pada 24 Julai 2014, Panitia Agama Islam telah berjaya menjalankan program Khatam Al-Quran dan penyampaian duit raya kepada murid-murid miskin atau yang kematian ibu atau bapa. Program yang berlansung di  dalam dewan sekolah  ini disertai oleh  semua guru dan murid bertujuan bagi mengisi aktiviti pada bulan Ramadhan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya. Program ini telah berjaya dijalankan dengan lancar. Tahniah kepada panitia Agama Islam kerana telah berjaya mengadakan program tersebut.
                                                                                                              
                                                                                                                 Dicatat oleh Pn Hjh Siti Mariyam