Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Wednesday, April 29

Pesta Nasyid Peringkat Daerah Seremban 1..


Sekolah telah menghantar pasukan nasyid yang diwakili seramai 9 orang murid lelaki tahap 2 ke Pesta Nasyid peringkat daerah Seremban 1 yang diadakan di SMK Dato' Klana Putra, Lenggeng. Pasukan nasyid sekolah yang dibimbing oleh Ustazah Nurasyikin, Ustazah Nurul Ashikin dan Ustaz Fadzil terpaksa bersaing dengan seramai 15 pasukan nasyid yang lain. Nasib tidak menyebelahi pasukan ini dan gagal memperoleh kejayaan walaupun telah berusaha  sehabis baik. Diharap pengalaman yang diperoleh ini  akan menjadi pendorong kepada para peserta untuk berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai kejayaan pada masa yang akan datang. Tahniah kepada guru-guru pembimbing serta guru-guru yang lain yang telah memberi kerjasama kepada pasukan nasyid sekolah. Gagal sekali tidak bermakna gagal buat selama-lamanya. Berusaha dan teruslah berusaha sehingga berjaya.

Pertandingan Sahibba Peringkat Daerah Seremban 1.. Tempat Johan dan Ketiga




Hendak mengekalkan gelaran Juara Kebangsaan yang telah dicapai oleh sekolah ini pada tahun lepas memang amat sukar untuk dilaksanakan. Beban yang terpaksa dipikul oleh dua orang peserta Sahibba iaitu Nurul Syifa dan Nurul Sarah yang menyertai Pertandingan Sahibba peringkat Seremban 1 di SJKT Tun Sambanthan pada 28 April 2015 akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya apabila mereka memenangi pertandingan tersebut dan menewaskan 48 orang peserta dari sekolah lain. Tahniah kepada Nurul Syifa yang telah mendapat tempat Johan manakala Nurul Sarah mendapat tempat Ketiga. Kedua-dua mereka akan mewakili daerah Seremban1 ke peringkat negeri pada 12 Mei 2015 di SMK Jelai(F) . Diharap mereka akan berusaha dengan lebih gigih lagi agar mencapai tempat Johan di peringkat negeri pula bagi melayakkan mereka pergi ke peringkat kebangsaan. Bersama-samalah kita berdoa agar mereka akan berjaya dan mengembalikan gelaran Juara Kebangsaan.

Program Membaca Serentak 1 Malaysia



Tanggal 27 April 2015, seluruh sekolah di negara ini telah menjalankan aktiviti membaca serentak 1 Malaysia selama 2015 minit bermula jam 9.30 pagi.Program di bawah kelolaan Pusat Sumber ini diadakan di dewan sekolah. Semua guru dan murid telah membaca pelbagai bahan bacaan secara serentak setelah menerima isyarat siren daripada guru besar di atas pentas. Apa yang diharapkan daripada program ini adalah warga sekolah ini akan dapat meneruskan budaya membaca mereka walau di mana mereka berada kerana membaca itu adalah gedung ilmu.

Program Kecergasan Peringkat Sekolah Bersama Tenaga Pengajar PLKN, Mantin..



Program Kecergasan telah berlangsung di sekolah ini pada 22 April 2015, bermula jam 8 hingga 9 pagi di dewan sekolah. Semua guru dan murid terlibat dalam program tersebut. Merancakkan lagi program itu, pihak sekolah telah menjemput tenaga pengajar  dari PLKN yang seramai hampir dua puluh orang untuk membimbing mereka. Tenaga pengajar PLKN tersebut telah menjalankan aktiviti senamrobik yang diiringi dengan alunan muzik. Aktiviti yang berlangsung selama satu jam itu nampaknya telah dapat mencapai objektif  dan berjaya membantu warga sekolah ini dalam usaha mencergaskan diri dan mengeluarkan peluh. Semua guru dan murid berasa teruja dan seronok dapat melakukan senamrobik bersama pembimbing yang berpengalaman ini. Diharap program yang dijalankan ini akan dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang.

Thursday, April 23

Pertandingan Bercerita BM Sempena Hari Buku Sedunia- Tempat Ketiga..


Pada 22 April 2015, sekali lagi sekolah telah menghantar peserta bercerita tahap dua ke pertandingan bercerita. Kali ini di Perpustakaan Awam Negeri Sembilan di Seremban sempena Hari Buku Sedunia. Peserta yang terlibat ialah Luqman Hakim bin Ahmad Zuraidi dan Muhammad Amirul Aiman bin Amran. Alhamdulillah,  salah seorang daripada peserta tersebut telah berjaya mendapat tempat ketiga iaitu Muhammad Amirul Aiman. Tahniah diucapkan kepada Aiman kerana berjaya mengharumkan nama sekolah walaupun berlatih cuma sehari sahaja sebelum pertandingan tersebut dijalankan. Sementara Luqman hanya mendapat saguhati sahaja. Kepada Luqman, berusaha lagi untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Monday, April 20

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Tahniah Encik Ahmad Zuraidi dan Pn Nurashikin...

Tahniah diucapkan kepada dua orang guru SK Kampong Daching yang telah tercalon untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2014. Beliau ialah Encik Ahmad Zuraidi bin Abd Wahab, guru Bahasa Inggeris dan Puan Nurashikin binti Abdul Malik, guru Bahasa Arab. Mereka telah menerima anugerah ini pada 16 April 2015 di Alson Klana Resort. Diharap semoga dengan penerimaan anugerah ini akan dapat menambahkan lagi kecemerlangan mereka dalam menjalankan tugas sebagai pendidik yang dapat menghasilkan murid yang lebih  cemelang baik dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum. 

Sunday, April 19

Pesta Pantun Peringkat Negeri Sembilan....


Pada 16 April 2015, pasukan pemantun sekolah telah pergi ke SMK Bandar Baru Serting bagi menyertai Pesta Pantun Peringkat Negeri Sembilan. Sebanyak 8 pasukan dari seluruh daerah di Negeri Sembilan telah bertarung bagi menjuarai pertandingan yang diadakan. Namun pasukan sekolah tidak bernasib baik kerana telah kalah pada pusingan pertama apabila bertemu dengan pasukan pemantun dari daerah Seremban 2 iaitu SK Panchor. SK Panchor ternyata hebat kerana telah menjuarai pertandingan pantun itu setelah dapat mengalahkan dua lagi pasukan iaitu dari daerah Port Dickson dan Jempol. Begitulah adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Walau bagaimanapun  tahniah kepada pasukan pemantun sekolah kerana telah berjaya sampai ke peringkat negeri.Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Tahniah atas kerja keras peserta bagi menghadapi cabaran dalam pertandingan ini.
                                                    Bunga kekwa penghias dinding,                                                      
      Digubah Cik Nyonya  di hari Selasa ,
Jangan kecewa kalah bertanding,
Sudah takdirnya  yang maha esa.

Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Daerah Seremban 1 -Tempat Ketiga..



Tanggal 18 April 2014, sekolah telah menghantar pasukan Bicara Berirama yang disertai oleh 30 orang murid tahap dua di Kip Mart,Senawang ke pertandingan Bicara Berirama peringkat daerah Seremban. Guru pembimbing bagi pasukan ini iaitu Puan Zaida, Puan Siti Hawa dan Encik Shukri telah  berjaya menghasilkan kejayaan bagi pasukan ini iaitu mendapat tempat Ketiga. Tahniah diucapkan kepada ketiga-tiga guru pembimbing ini dan Cikgu Amran yang telah turut membantu membuat skrip, murid-murid yang terlibat serta guru-guru yang lain yang turut serta membantu melatih atau memberi semangat kepada mereka sehingga tercapainya kejayaan ini.

Perkhemahan Puteri Islam Peringkat Daerah Seremban 1



Kejayaan demi kejayaan diperoleh oleh murid SKKD dalam pelbagai pertandingan yang disertai oleh mereka. Kejayaan tidak akan datang menggolek tanpa usaha. Begitulah bagi peserta yang menyertai Perkhemahan Puteri Islam iaitu Nurin Syukrina,Nabilla, Siti Nurnabihah dan Siti Nurul Najehah yang diadakan di SK Sikamat pada 17 dan 18 April 2015. Berkat tunjuk ajar guru-guru pembimbing Puteri Islam iaitu Puan Suzilawati, Puan Siti Hawa, Puan Noranizah, Cik Nurul Ashikin, serta guru-guru yang lain telah membawa kejayaan kepada peserta yang terlibat mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Pertolongan Cemas. Tahniah kepada peserta yang terlibat serta guru-guru yang telah bekerjasama membimbing mereka sehingga berolehnya kejayaan ini. 

Karnival Bahasa Melayu Peringkat daerah Seremban 1.

Sekolah telah menghantar beberapa orang murid untuk menyertai Karnival Bahasa Melayu peringkat daerah Seremban 1 yang diadakan di SK Dato' Shah Bandar Abu Bakar,Labu pada 15 April 2015. Seramai hampir 50 buah sekolah telah menyertainya. Perserta yang terliabt ialah Siti Maysarah(Pidato), Luqman Hakim (Bercerita BM Tahap 2), Iman Khadeeja(Bercerita BM Tahap 1) dan Nurul Syifa, Muhd Amirul Aiman, Muhd Izzuddin dan Siti Nurnabihah (Bahas). Antara yang berjaya dalam pertandingan itu ialah Naib Johan Pertandingan Bercerita BM tahap 1 iaitu Iman Khadeeja dan tempat Ketiga Pertandingan Bahas (Nurul Syifa, M.Amirul Aiman, M.Izzuddin dan Siti Nurnabihan). Iman Khadeja layak untuk menyertai pertandingan bercerita BM Tahap 1 ke peringkat negeri yang akan diadakan pada bulan Mei nanti. Yang tidak berjaya, jangan berputus asa, cuba lagi pada tahun hadapan dan yang berjaya teruskan usaha untuk menggapai kejayaan yang lebih cemerlang di peringkat negeri nanti.





Pertandingan Balapan dan Padang Peringkat Negeri..Muhd Haikal-Naib Johan!

Tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia siapa yang tahu.. Begitulah bunyinya kata pepatah yang tepat sekali ditujukan kepada Muhd Haikal, murid tahun 4 yang telah berjaya mendapat tempat Naib Johan dalam pertandingan lari 4X100meter lelaki bawah 10 tahun peringkat negeri yang telah diadakan di Kuala Pilah. Kejayaan ini amat membanggakan sekolah. Tahniah kepada Muhd Haikal atas kejayaan yang diperoleh dan tahniah juga kepada guru pembimbing yang gigih melatih iaitu Encik Goh Chee Kean. Teruskan usaha melatih murid demi kejayaan murid dan mengharumkan nama sekolah.

Pertandingan Scrabble dan Spelling Peringkat Daerah Seremban..

 
Cubaan membawa murid menyertai pertandingan Spelling dan Scrabble adalah merupakan langkah bijak yang diambil oleh guru pengiring, Encik Ahmad Zuraidi. Walaupun tidak memenagi pertandingan tersebut, namun ia telah memberi satu pengalaman yang berharga kepada peserta yang terlibat. Tahniah kepada Cikgu Ahmad Zuraidi dan murid yang terlibat iaitu Nur Aina Nafesha, Muhd Ariff dan Luqman Hakim kerana telah berjaya menghadapi dugaan dalam pertandingan tersebut. Diharap pengalaman yang diperoleh akan memantapkan lagi pengetahuan dan semoga dapat membuat latihan bagi persiapan pertandingan pada tahun hadapan pula.

Friday, April 17

Pertandingan Saintis Muda



Daripada saja-saja hendak mencuba, akhirnya dapat tempat ketiga dalam pertandingan saintis muda. Begitulah bertuahnya nasib dua orang peserta sekolah iaitu Ahmad Nazief dan Muhd.Aqil Qayyum yang telah menyertai pertandingan saintis muda yang dianjurkan oleh Sekolah Menengah KGV pada 6 April 2015 yang lalu. Mereka ditemani guru pengiring, Puan Siti Fatimah binti Wahab. Ahmad Nazief dan Muhd Aqil Qayyum telah menerima hadiah serta sijil daripada pihak penganjur. Tahniaah diucapkan kepada dua orang peserta ini  serta Puan Siti Fatimah atas pencapaian yang diperoleh dalam Program Saintis Muda tersebut.

Pertandingan Bola Tampar Peringkat Daerah Seremban 1,MSSDS


Satu lagi kejayaan sekolah telah dicapai dalam aktiviti 1M1S iaitu Naib Johan dalam pertandingan bola tampar perempuan peringkat daerah Seremban 1. Sekolah juga telah menghantar pasukan bola tampar lelaki tetapi tidak berjaya memperoleh kejayaan. Pertandingan tersebut telah diadakan pada 6 April 2015 di Centre Court, Paroi. Tahniah kepada pasukan bola tampar perempuan atas kejayaan yang telah diraih dan tahniah juga kepada pengurus pasukan tersebut iaitu Puan Ismayati Omar, jurulatih pasukan, Encik Ahmad Zuraidi dan Puan Suzilawati serta guru-guru yang lain yang turut membantu melatih dan memberi soskongan kepada pasukan bola tampar sehingga mencapai kejayaan ini. Teruslah berusaha bagi menaikan nama sekolah ini. 

Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-36..




Pada tanggal 28 Mac 2015, warga SK Kampong Daching telah berjaya mengadakan mesyuarat Agung PIBG kali ke-36. Puan Khalidah binti Omar, wakil Pegawai PPD telah merasmikan majlis tersebut. Mesyuarat pada kali ini  berasa  amat bertuah apabila Ketua Cawangan Bandar Akademia iaitu Encik Sidek telah sudi datang ke mesyuarat tersebut di samping bermurah hati menyumbangkan cek berjumlah sepuluh ribu ringgit kepada pihak sekolah bagi membantu perjalanan program sekolah baik dari segi akademik mahupun kokurikulum.Dalam mesyuarat tersebut, telah sebulat suara untuk menaikkan yuran PIBG dari RM50 ke RM100. Barisan ahli jawatankuasa yang lama telah dirombak dan digantikan dengan ahli jawatankuasa yang baharu di mana YDP PIBG disandang oleh bekas guru SKKD iaitu Encik Amran bin Bakar. Diharap pimpinan jawatankuasa yang baru dibentuk ini akan dapat membawa pembaharuan untuk memajukan sekolah dalam segala aspik di samping dapat mencari dana sekolah sebanyak yang mungkin agar segala program yang dirancang dapat dijalankan dengan mudah dan berkesan.

Perkhemahan Unit Badan Beruniform Peringkat Kebangsaan..

 

 
Warga sekolah berasa amat berbangga terhadap tiga orang murid sekolah ini yang telah berjaya sampai ke peringkat kebangsaan dalam aktiviti perkhemahan unit badan beruniform. Tahniah kepada Loqman Hakim bin Fareed yang telah pergi menyertai aktiviti perkhemahan di PLKN Desa Rimba, Sauk Kuala Kangsar,Perak (23-27/3/2015) serta Siti Maysarah Kamal Arifin dan Nur Aina Sofea  di Pusat Kokurikulum Negeri, Bukit Mertajam, Pulau Pinang(29/3-2/4 2015).  Lebih membanggakan lagi apabila Siti Maysarah telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Chef Muda. Tahniah kepada ketiga-tiga orang murid tersebut  dan tahniah juga kepada guru-guru Pengakap dan Puteri Islam yang telah membimbing mereka. Diharap kejayaan mereka dapat menjadi contoh kepada murid-murid yang lain agar terus berusaha untuk meraih kejayaan hingga ke peringkat yang tertinggi.