Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Thursday, November 19

Program Hari Anugerah Kecemerlangan 2015 dan Majlis Graduasi Murid Tahun 6











Program terakhir sekolah iaitu Majlis Sambutan Hari Anugerah Kecemerlangan disambut dengan gilang-gemilang oleh warga sekolah dan ibu bapa murid pada 18 November 2015. Perasmian disempurnakan oleh wakil Pegawai dari PPD Seremban, En Azhar. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YDP PIBG, Encik Amran bin Bakar. Di samping itu juga diadakan majlis graduasi bagi murid tahun enam dan prasekolah. Pelbagai persembahan dipersembahkan oleh murid bagi memeriahkan majlis tersebut. Dalam majlis itu, Anugerah Tokoh Cemerlang Kokurikulum (Koakademik) telah dinobatkan kepada Nurul Syifa binti Ahmad Laily,  Tokoh Cemerlang Kokurikulum(Sukan) disandang oleh Luqman Haqim bin Ahmad Zuraidi, Tokoh  Cemerlang Akademik pula digondol oleh Ahmad Nazief bin Ahmad Hisham manakala Tokoh Murid 2015 diraih oleh Siti Maysarah binti Kamal Arifin. Tahniah kepada murid yang menerima hadiah kerana cemerlang dalam pelajaran . Bagi murid yang tidak berjaya, rajin-rajinlah belajar lagi.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                           

Keputusan UPSR 2015- 3 orang 5A


Terlerai sudah debaran di hati, tersingkap sudah teka-teki bermain di sanubari. Kini, keputusan UPSR 2015 diketahui sudah. Alhamdulillah, bilangan murid yang mendapat 5A meningkat daripada seorang pada tahun lepas kepada tiga orang pada tahun ini. Mereka yang bertuah itu ialah Siti Maysarah binti Kamal Arifin, Ahmad Nazief bin Ahmad Hisham dan Luqman Hakim bin Fareed. Tahniah kepada ketiga-tiga orang murid tersebut. Seramai 5 orang murid berjaya mendapat 4A1B dan 3 orang murid mendapat 3A. Walaupun bilangan murid mendapat 5A meningkat, namun GPS sekolah dan purata kelulusan agak jatuh sedikit. Diharap guru-guru di sekolah ini akan bersama-sama berganding bahu untuk meningkatkan prestasi UPSR tahun 2016 yang berwajah baharu di mana bilangan A sudah bertambah kepada 6A. 

Program Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Sekolah





Program Hari Kanak-kanak Sedunia telah disambut meriah oleh murid-murid SK Kampong Daching pada 6 November 2015, dengan mengadakan pelbagai persembahan yang menarik seperti tarian, lakonan, silat dan sebagainya. Antara objektif hari tersebut diadakan adalah untuk menghargai dan meraikan murid-murid di sekolah ini. Setelah semua persembahan berakhir, murid-murid telah dijamu dengan makanan KFC. Pihak sekolah berharap agar program ini dapat menggembirakan murid-murid serta memberi suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan pembelajaran di sekolah ini bersama-sama rakan mereka.

Sukan Mini SKKD,2015







Pada tahun ini, sekolah tidak dapat melaksanakan sukan secara besar-besaran memandangkan cuaca berjerebu yang berpanjangan. Namun, alhamdulillah berjaya melaksanakan sukan mini sahaja pada 4 November 2015 yang lalu walaupun dalam keadaan padang yang basah. Pelbagai acara sukan telah diadakan secara individu dan berkumpulan. Tokoh Olahragawan telah digondol oleh Muhammad Ariff Khairul Nizam manakala Tokoh Olahragawati pula digondol oleh Nurul Shuhada binti Sisul. Pada tahun ini, Rumah Merah masih mengekalkan kejuaraan pada tahun lepas dalam mengumpul mata terbanyak. Tahniah kepada yang berjaya. Semoga dengan adanya hari sukan ini, pihak sekolah dapat mencungkil bakat-bakat murid dalam pelbagai acara dan memudahkan pihak sekolah melakukan pemilihan peserta bagi mewakili sekolah di peringkat daerah kelak.

Monday, November 2

Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Sempena Program Bulan Bahasa Kebangsaan




Sekolah ini bertuah kerana telah terpilih untuk menyertai pertandingan bercerita BM mewakili daerah Seremban 1 dalam Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri sempena Program Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan di IPG Kampus Raja Melewar, Seremban pada  26 Oktober 2015. Seramai 32 orang peserta dari semua daerah di Negeri Sembilan telah menyertai pertandingan tersebut, dalam tahap 1 dan 2. Empat orang peserta sekolah telah terlibat iaitu adik Najihah binti Norhamidi dan Iman Khadeeja mewakili Tahap 1 manakala Luqman Hakim bin Ahmad Zuraidi dan Muhd Amirul Aiman bin Amran mewakili Tahap 2. Dua orang peserta sekolah kita telah melepasi saringan dan berjaya ke peringkat akhir dan kedua-dua peserta tersebut mendapat tempat ke-4 dalam pertandingan tersebut. Mereka ialah adik Muhammad Amirul Aiman bin Amran bagi tahap 2 dan adik Iman Khadeeja binti Shahrizal bagi tahap 1. Tahniah kepada Aiman dan Iman Khadeeja atas kejayaan yang telah dicapai. Walaupun peserta sekolah tidak berjaya mendapat tempat terbaik dalam pertandingan tersebut, namun sifat berani mencuba mereka itu harus menjadi contoh kepada murid-murid yang lain di sekolah ini.  

Pemilihan Tokoh Nilam Peringkat Daerah ..Tempat Kedua

Tahniah diucapkan kepada adik Siti Nurnabihah binti Mohd Noor kerana telah berjaya memperoleh tempat kedua dalam Pertandingan Tokoh Nilam peringkat Daerah Seremban  yang diadakan di SMK Seremban 3,  pada 1 Oktober 2015. Kejayaan ini melayakkan peserta sekolah ini menyertai pertandingan Tokoh Nilam ke peringkat negeri yang akan diadakan pada 2 November 2015 di Port Dickson. Diharap semoga adik Siti Nurnabihah dapat menjulang nama Sk Kampong Daching di peringkat negeri nanti. Bersama-samalah kita berdoa agar ia menjadi kenyataan.

Program Senamrobik Sempena Hari Sukan Negara




Hari Sukan Negara  disambut meriah oleh seluruh rakyat Malaysia pada 10 Oktober 2015. Bagi sekolah ini, aktiviti senamrobik telah dipilih sebagai aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut. Semua warga sekolah bersama-sama menjalankan aktiviti senamrobik di dewan sekolah. Selepas itu, murid-murid menjalani latihan sukan pula di padang bagi persiapan hari sukan yang akan diadakan pada bulan November nanti.

Program Lawatan Sambil Belajar Prasekolah dan Tahun 6








Program lawatan sambil belajar telah berjaya dijalankan pada tarikh dan tempat yang berbeza. Bagi murid-murid prasekolah, mereka telah pergi ke Papa John(pizza), I-City di Shah Alam dan Kilang Coklat Beryls di Seri Kembangan pada 30 September 2015. Guru pengiring yang terlibat ialah Pn. Norhana, Pn Sharifah Munirah, Puan Suryati dan Pn Munirah. Sementara itu, murid-murid tahun 6 pula telah pergi melawat ke Kidzania pada 28 Oktober 2015. Mereka diiringi oleh guru pengiring Pn Noranizah, Pn Siti Fatimah, Pn Ismayati dan En Ahmad Zuraidi. Diharap dengan adanya program lawatan ini murid-murid akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang serta pengalaman mereka dengan tempat-tempat menarik yang terdapat di negara ini,

Monday, September 28

Sambutan Penutupan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah













Tanggal 18 September 2015, sekolah telah mengadakan sambutan Penutupan Bulan Kebangsaan yang pada perancangan awalnya disambut pada 15 September 2015 yang diumumkan cuti kerana jerebu. Pelbagai acara telah dijalankan pada hari tersebut  kecuali acara Kayuhan Merdeka yang dirancang terpaksa dibatalkan  kerana jerebu. Antara pertandingan yang diadakan adalah seperti pertandingan mewarna bagi murid tahap 1, pertandingan mendeklamasikan sajak bagi murid tahap 2, kuiz kemerdekan, pertandingan pakaian patriotik, pertandingan hiasan basikal patriotik, pertandingan koir patriotik dan kelas patriotik. Program tersebut berjalan dengan meriah sekali. Dengan adanya program tersebut diharap dapat menanamkan perasaan cinta murid kepada negara serta dapat mencungkil bakat murid dalam pelbagai bidang. Tahniah dan syabas kepada semua warga SKKD yang telah berjaya menguruskan program tersebut dengan jayanya.