Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Saturday, December 31

IMBASAN TAHUN 2011.........

Banyak juga kejayaan yang telah dikecapi dalam tahun 2011. Dalam bidang kokurikulum khasnya sekolah telah berjaya melahirkan pelari dalam bidang olahraga setaraf dengan sekolah-sekolah lain. Dalam bidang koakademik pula seorang murid berjaya mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan bercerita peringkat kebangsaan. Pencapaian pasukan bola sepak sekolah juga telah menunjukkan peningkatan yang baik. Skuad muda ini telah berjaya membuktikan bahawa sekolah tidak ketandusan pemain, jika perancangan dijalankan dengan teliti. Dalam bidang akademik juga pencapaian dalam peperiksaan UPSR juga agak baik. Walaupun bilangan yang mendapat 5A hanya 4 orang, tetapi gred purata sekolah ialah 1.76. Ini menunjukkan bahawa semua murid mendapat perhatian yang sama. Tahniah dan syabas juga kepada Muhammad Fikri Bin Norsan, Muhamad Subhan Bin Hedzir , dan Asyraf Ridzuan Bin Anuar Saleh yang berjaya meneruskan pelajaran di sekolah berasarama penuh. Teruskan usaha, semoga lebih berjaya lagi. Tidak lupa juga buat Siti Kamilah Bin Kamal Arifin yang akan meneruskan pelajaran di SMKA di Pedas, teruskan usaha.

Kepada guru-guru, teruskan tekad untuk mendidik anak bangsa. Tingkatkan semangat dalam mengarungi cabaran. Pekerjaan kita bukan hanya untuk mendapatkan hasil, malah akan diberi ganjaran oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Barang siapa yang merasa penat kerana bekerja untuk mencari rezeki yang halal, nescaya terampun segala dosanya". (Riwayat Al-Iman Al Sayuti)

Oleh teruskan ikatan ukhwah, sentiasa bersangka baik serta memberi nasihat-nasihat yang baik . SEMOGA TAHUN 2012 AKAN MEMARTABATKAN DIRI KITA KE ARAH LEBIH BAIK.......

Saturday, December 17

Langkah kejayaan baru bermula....teruskan....



Tahniah kepada Muhammad Fikri Bin Norsan, Muhammad Subhan Bin Hedir dan Asyraf Ridzuan bun Anuar Saleh kerana telah terpilih untuk meneruskan persekolahan diasrama penuh. Fikri dan Subhan akan meneruskan persekolahan di SM Sains Rembau manakala Asyaraf pula di SM Sains Tuanku Jaafar Kuala Pilah. Semoga kejayaan mereka menjadi satu perangsang kepada murid-murid SK Kampong Daching. Kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang berterusan, bak kata pepatah "Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang". Kejayaan harus dikejar dan dicari. Dalam pencarian itu kita akan menempuhi pelbagai onak dan duri. Kita harus paksa diri, bukan manjakan diri jika mahu berjaya.

Friday, December 9

Positifkan diri dengan suasana.....

Kalah atau menang bukanlah urusan kita, tetapi yang penting adalah kemampuan kita untuk mengambil manafaat dari setiap kejadian yang menimpa kita. Walaupun sering ditimpa kegagalan, kita harus sentiasa memiliki semangat untuk bangun semula, berani mengharungi kegagalan. Kita haruslah berani menghadapi tentangan yang berat, untuk meraih kemenangan yang gemilang, walaupun diselingi kegagalan. Oleh itu kita haruslah bersikap positif dengan melakukan usaha yang bersunguh-sungguh. Di samping itu kita haruslah memilih kawan yang bersikap positif, bukannya kawan yang bersikap negatif. Kawan yang positif akan membantu kita menjadi cemerlang , sebaliknya kawan yang bersikap negatif akan mempengaruhi kita untuk bersikap negatif. Jika kita hanya pandai memberi alasan, dalih dan helah untuk menerangkan kenapa kita tidak boleh berjaya dalam melakukan sesuatu sebenarnya itu hanyalah alasan.Daripada Aisyah r.ha, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya . “Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang”.Untuk menjadi berjaya kita haruslah membimbing dan melatih diri kita agar suka beriktiar untuk memantap dan mempertingkatkan prestasi diri bukan sering mencari alasan dan pandai berdolak-dalih. Kata Imam Ghazali, “Rajin ialah penawar paling mujarab dan malas ialah racun yang paling berbisa”.

Sunday, November 20

Sekitar hari Anugerah Cemerlang 2011







Majlis hari Anugerah cemerlang 2011 telah diadakan pada 17. 11. 2011 yang lalu. majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB. Tuan Mustapha Bin Salim iaitu ADUN Kawasan Lenggeng. Dalam majlis tersebut beliau telah berjanji akan menyumbangkan RM3000.00 sempena majlis Anugerah Cemerlang ini. Dalam majlis tersebut adik Siti Kamilah binti Kamal Arifin dan adik Muhammad Fikri bin Norsan telah diumumkan sebagai Tokoh Akademik dan Tokoh Kokurikulum. Masing-masing telah membawa pulang RM100.00 serta plag. Adik Muhammad Fikri juga telah diumumkan sebagai Tokoh Murid bagi tahun 2011. Majlis tersebut telah diserikan lagi dengan persembahan murid-murid Sekolah Kebangsaan Kampong Daching. Bagi ibubapa pula telah diadakan cabutan bertuah.

Keputusan UPSR Tahun 2011



Seramai 4 orang murid telah berjaya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2011. Secara keseluruhannya bilangan murid yang mendapat 5A menurun berbanding pada tahun 2010. Pada tahun 2010 seramai 13 orang murid mendapat 5A berbanding pada tahun 2011 iaitu seramai 4 orang. Gred purata sekolah pula ialah 1.76 iaitu menurun 0.02 daripada tahun 2010 iaitu 1.74. Peratus keseluruhan pula ialah 91.8%.

Sunday, November 6

Mereka juga bernilai....

"Di Kepulauan Solamon petani tidak menebang pokok untuk membuka tanah pertanian tetapi akan memaki hamun pokok tersebut. Lama kelamaan pokok tersebut akan mati." Ungkapan ini sebenarnya mengajar kita untuk berfikir. Sebagai seorang guru mungkin kita tidak sedar bahawa disebalik kelemahan terselit keistimewaan. usaha yang berlipat ganda perlu dicurahkan apabila berdepan dengan murid yang sebegini. Mereka perlukan kasih sayang, perhatian. Sebenarnya mereka sedang menunggu masa untuk diasah. Cuma bezanya ialah mereka mahukan asahan itu dibuat mengikut cara mereka sendiri. Sebagai guru yang prihatin sikap kesederhanaan patut diamalkan. Apabila pujuk rayu dan pujian dibuat, nescaya mereka akan berasa diri mereka dihargai. Kata-kata itulah adalah doa. Oleh itu kita haruslah menggunakan kata-kata yang baik, agar kata-kata kita itu adalah doa untuk mereka. Bukan mudah .....tetapi kita harus mulakan..... . Mulakan dengan tindakan bukan sekadar berkata-kata....

Wednesday, November 2

Buku Program Hari Anugerah Cemerlang 2011



Semua ibu bapa dijemput hadir dalam majlis hari Anugerah Cemerlang 2011 SK Kampong Daching. Persiapan sedang rancak dijalankan. Jika ada ibu bapa atau orang perseorangan yang ingin menderma boleh berhubung dengan pihak sekolah. Marilah kita sama-sama semarakkan Majlis Anugerah Cemerlang ini.

Thursday, October 27

Lawatan ke Melaka.......lencun kehujanan

















Seramai 72 orang murid dan 8 orang guru telah menyertai lawatan sambil belajar ke Melaka pada 27. 10. 2011. Tempat-tempat yang dilawati ialah sekitar Banda Hilir, Masjid Selat Melaka dan Zoo Melaka. Keseronakkan jelas terpancar di raut wajah murid yang terpilih untuk menyertai rombongan ke Melaka ini. Terima kasih kepada semuda guru pengiring iaitu En. Mohd Riduan, En. Arifin Hj Ismail, En. Mohd Firdaus, En. Ahmad Zuraidi, Pn. Siti Fatimah, Pn. Sharifah Munirah dan Cik Nurul Asyikin yang telah sama-sama mengawal murid dalam rombongan ini. Tidak ketinggalan juga pada Pn. Faiziah Hj Shamsudin serta dua orang AJK PIBG yang sama-sama mengawal murid. Walaupun kehujanan semasa berada di Zoo Melaka, namun semangat guru-guru tetap membara demi anak murid tercinta. semoga ditahun hadapan kita akan dapat merancang ditempat yang lain pula. Kejayaan mengadakan rombongan ini adalah hasil kerjasama semua guru. TAHNIAH UNTUK SEMUA.

Tuesday, October 25

Temasya Sukan Tahunan 2011









Temasya sukan Tahunan SKKD 2011 telah berjalan dengan lancarnya berkhat kerjasama semua guru dan kaki tangan sekolah serta PIBG Sekolah Kebangsaan Kampong Daching. Temasya sukan tahunan tersebut telah dibuka secara rasminya oleh guru penolong kanan kokurikulum iaitu Encik Shaharudin Bin Buyong. Rumah kuning telah berjaya menjadi johan dalam temasya sukan tahunan tersebut iaitu dengan memungut mata sebanyak 458, diikuti dengan rumah biru iaitu 365 mata dan rumah merah sebanyak 309 mata. Muhammad Fikri Bin Norsan telah diumumkan sebagai olahragawan dan Izatul Atiqah sebagai olahragawati dalam temasya sukan tahunan tersebut. Terima kasih kepada semua ibu bapa yang hadir dalam temasya sukan tahunan tersebut. Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Encik Sidek Bin Othman iaitu ketua UMNO Cawangan Kampung Daching.

Thursday, October 20

Kunci Persahabatan

Sekiranya kita melakukan sesuatu tanpa keikhlasan, ia sungguh menyiksakan. Kita sebenarnya telah kehilangan ketenangan dalam memberi atau menerima sesuatu. Berlaku perselisihan, terasa hati adalah perkara biasa dalam sebuah persahabatan. Perbincangan adalah penawarnya. Jika masalah yang berlaku tidak diselesaikan ia akan disimpan, lama kelamaan akan bertukar menjadi dendam. Hanya dengan keikhlasan akan buat hati manusia tenang dan gembira. Untuk mendapat ketenangan dendam kesumat harus dibuang jauh-jauh. Harus saling maaf bermaafan dan musahabah diri. Perlu dijadikan budaya terhadap masalah yang berlaku segera dibawa berbincang.

Monday, October 17

Pasukan SKKD (Bawah 10) Kandas di Pusingan 2 Piala MK

Kuala Lumpur, 16 Okt : Pasukan bola sepak bawah 10 tahun SK Kg Daching kandas di pusingan ke 2 Piala MK yang telah berlangsung di Padang SK Tiara Permai, Jalan Ipoh, KL. Kejohanan yang disertai 22 buah pasukan bawah 10 tahun itu menampilkan pasukan kelab sekitar KL dan SKKD merupakan satu-satunya pasukan dari N.Sembilan yang menyertai kejohanan.

Pasukan SKKD yang diletakkan di dalam kumpulan D memulakan saingan dengan mencatat keputusan seri 1-1 dengan Sufa Black Eagle. Pada perlawanan kedua SKKD tewas 0-1 kepada Akademi Tunas Muda A. SKKD diberi kemenangan percuma pada perlawanan ketiga menentang PIB FC B yang menarik diri. Seterusnya perlawanan keempat SKKD berjaya menewaskan Goal Academy dengan 3-0. Pada Perlawanan terakhir SKKD tumpas kepada pasukan Akademi Batu Permai B dengan 0-1. Namun begitu pasukan SKKD tetap layak ke pusingan ke 2.

Bertemu pasukan tuan rumah Akademi Batu Permai A yang merupakan pasukan pilihan kejohanan. Pemain-pemain SKKD berjaya menyaingi pasukan ini dan berjaya melakukan beberapa percubaan menarik dan berjaya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti. Namun tuah tidak menyebelahi SKKD tewas 1-2 pada sepakan penentuan ini.

Secara keseluruhan pasukan bawah 10 tahun SKKD berjaya bersaing hebat dengan pasukan akademi dan kelab bola sepak sekitar KL. Persiapan pendek selama 2 minggu berjaya menghasilkan keputusan yang agak positif. Semoga pasukan ini akan lebih berjaya di kejohanan seterusnya. Terima kasih kepada semua penaja , PIBG SKKD, guru-guru SKKD, Ibu bapa dan semua yang mendoakan pasukan ini.

Barisan Pegawai dan pemain SKKD Bawah 10 Tahun Piala MK 2011:
Pengurus : Cikgu Riduan
Jurulatih : Cikgu Ariffin
Pen Jurulatih : Cikgu Firdaus
Fisio : Ustaz Fadzil
Kitman : Jojo & Khir

Pemain :
1. Fairuz 6. Haziq Syah
2. Haziq Aiman 7. Ariff
3. Aiman 8.Akhmal
4. Azim 9. Zulfadli
5. Ammar 10. Saiful Azmi

Saturday, October 15

Perlawanan Persahabatan SK Kg Daching Vs SK Sikamat

Sikamat, 14 Oktober 2011 : Pasukan Bawah 10 Tahun SK Kg Daching (SKKD) yang sedang di dalam persiapan Pertandingan Piala MK di Kuala Lumpur pada 16 Oktober telah berkesempatan mengadakan perlawanan dengan pasukan Bawah 11 Tahun SK Sikamat. Pasukan SKKD yang dibimbing oleh Cikgu Ariffin dan Cikgu Firdaus sebagai pembantu telah berjaya menumpaskan pasukan elit daerah Seremban ini dengan jaringan 1-0. Jaringan pada separuh masa kedua ini telah berjaya dijaringan oleh Muhammad Aiman hasil situasi kelam kabut di hadapan gol lawan. Perlawanan yang terbahagi kepada tiga bahagian ini pada mulanya didominasi oleh pasukan SK Sikamat, namun kecekapan barisan pertahanan SKKD telah menafikan beberapa peluang pasukan itu.
Perlawanan pemanas badan ini diharap dapat menyediakan pasukan SKKD bagi bersaing dangan pasukan kelab dari KL nanti. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan sumbangan untuk pasukan ini. Sekalung tahniah buat guru-guru SKKD, PIBG dan ibu bapa yang sentiasa memberi galakan dan sokongan.

Mohd Riduan bin Mohamad Yusof,
Pengurus Daching FC 2011

Sunday, October 9

Selamat Berjuang......

Selamat berjuang kepada Siti Mawadah Binti Mustapha yang akan mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan bercerita dalam bahasa Melayu yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 10 hingga 12 Oktober 2011. Pertandingan tersebut akan diadakan di Hotel Sri Malaysia, Pulau Pinang. Beliau akan diiringi oleh Puan Siti Mariyam Binti Hj Othman yang juga merupakan ibu kepada Siti Mawaddah. Pihak sekolah, Persatuan Ibubapa dan guru-guru mendoakan kejayaan beliau dalam pertandingan ini. Penyertaan Siti Mawadah ini merupakan kali ketiga sekolah ini menghantar wakil ke peringkat kebangsaan.

Saturday, October 8

Hari Keluarga SK Kampong Daching 2011

Hari ini 8. 10 hingga 9. 10, Hari keluarga SK Kampong Daching telah diadakan di Perak iaitu di Sungai Klah. Walaupun tidak dapat mengumpulkan semua guru kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan namun Hari keluarga ini tetap diteruskan kerana telah dirancang. Tahniah kepada ketua rombongan Pn. Faizah Binti Ali yang menguruskan program Hari Keluarga ini serta Encik Mohd Riduan yang menjadi pembantunya. Kepada semua rakan guru selamat berhari keluarga. Semoga selamat sampai dan pulang.

Thursday, October 6

Kemanisan Perpaduan Bahagian 2

Apabila semua pihak mencari keredaan Allah, maka secara automatik hati-hati mereka mudah disatukan. Berpadu bererti menguruskan perbezaan, bukan menghapuskannya. Para pemimpin terutamanya, mesti mempunyai kebijaksanaan itu. Namun, kini semakin kurang pemimpin yang bijak dalam memimpin manusia. Petanda tidak bijak menguruskan perbezaan adalah apabila berlakunya sikap bantah-membantah dan perselisihan yang terlalu banyak. Hal ini yang diperingkatkan oleh Allah menerusi ayatNYA yang bermaksud:"Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu menggembalikannya kepada Allah ( Kitab al-Quran dan Rasul-nya ( sunnnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya." Surah al Nisa' 4:59). Oleh itu, fikirkanlah, jika harga perpaduan terlalu mahal.........cubalah terus berpecah!

Monday, October 3

Kemanisan Perpaduan......

Dalam Islam perbezaan bukan sahaja diakui malah diraikan. Kita harus menguruskan dengan kematangan agar perpaduan terasa keindahannya. Jika kita bersatu, ia akan kuat, harmoni dan dapat menangkis sebarang ancaman musuh-musuhnya. Kita mesti mengakui bahawa selagi kita bernama manusia, maka selagi itulah kita berbeza. Perbezaan itu adalah fitrah manusia. Begitu juga dalam kalangan manusia. Ia hanya akan indah dan kukuh apabila wujud pelbagai perbezaan. Berbeza watak, bakat, kecenderungan, cita rasa, rupa dan warna akan membentuk perpaduan yang indah dan kukuh. Tidak wujud perpaduan apabila ada ketakburan. Penyakit takbur akan menyebabkan ada pihak yang memandang rendah orang lain. Orang yang takbur tidak mengenal erti dan nilai kerjasama kerana merasakan dirinya serba boleh dan serba mampu. Kelembutan hati itu umpama air. Hati yang lemah lembut itulah yang mampu menyatukan semua manusia. Kelembutan hati dapat menawan hati yang keras, degil dan sombong.