Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan Kampong Daching, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan, Malaysia

Wednesday, November 26

Majlis Hari Anugerah Cemerlang 2014



 


Majlis Hari Anugerah Cemerlang yang merupakan acara kemuncak  dan penutup program sekolah telah diadakan pada 20 November 2014 dan berjaya dijalankan dengan penuh warna-warni. Majlis tersebut dirasmikan oleh YAB Dato' Hj Abu Ubaidah bin Dato' Hj Mohd Redza. Jika tahun sebelum ini, pada majlis tersebut, keputusan UPSR telah diumumkan namun pada tahun ini keputusan UPSR agak lewat sedikit. Murid-murid yang telah berjaya dalam peperiksaan akhir tahun dan yang cemerlang dalam kokurikulum telah menerima hadiah pada hari tersebut. Pelbagai persembahan yang menarik daripada murid-murid sekolah turut dipersembahkan kepada para tetamu yang hadir. Anugerah Terbaik Kokurikulum 1M1S telah disandang oleh Muhammad Aiman bin Ghazali, manakala Anugerah Terbaik Kokurikulum Koakademik, Anugerah Terbaik Akademik dan Tokoh Murid 2014 telah disandang oleh Nursalina binti Ibrahim. Tahniah kepada murid-murid yang telah berjaya menerima hadiah dan tahniah juga kepada semua guru yang telah bertungkus-lumus menjayakan progam Hari Anugerah Cemerlang yang telah dapat dijalankan dengan lancarnya.

Thursday, November 20

Anda semua hebat.....

Tahniah kepada semua murid tahun 6. Anda semua segak serta penuh bergaya. Semoga pengalaman memakai jubah ini akan menjadi satu perangsang dalam diri untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Cikgu berharap agar semua akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Semasa di sekolah menengah nanti, belajarlah bersungguh-sungguh dan jagalah peribadi.  Apa juga keputusan UPSR pada 26hb. Ini, jadikanlah penyuntik semangat untuk berjaya. Halakan azam ke hadapan, nescaya kejayaan akan menyusul! ....Salam kasih sayang buat semua......

Tuesday, November 18

Anugerah Modal Insan Terbilang N.Sembilan 2014




Tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia,hanya tuhan sahaja yang tahu. Begitulah kejayaan yang telah dicapai oleh adik Nursalina Ibrahim baru-baru ini di mana beliau telah menerima Anugerah Modal Insan Terbilang peringkat Negeri Sembilan. Selayaknya beliau menerima anugerah itu kerana banyak kejayaan yang telah beliau capai sebelum ini yang dapat mengharumkan nama sekolah. Sekalung ucapan tahniah daripada pihak sekolah dan PIBG atas kejayaan yang diraih. Bukan mudah untuk mendapat anugerah tersebut, hanya murid yang terbilang sahaja selayaknya menerima anugerah seperti itu. Teruskanlah mengejar kejayaan dan sebuah kejayaan pastinya memerlukan suatu pengorbanan. Semoga jejakmu menjadi pembakar semangat kepada murid-murid di SK Kampong Daching dan semoga kejayaan terus mengekorimu, Nursalina serta semua warga SKKD. 

Thursday, November 13

Majlis Graduasi Tahun Enam 2014




Buat julung-julung kalinya, SK Kampong Daching telah berjaya mengadakan Majlis Graduasi untuk murid-murid tahun enam. Majlis yang disambut dengan meriah itu telah diadakan di Hotel Nilai. Semua murid tahun enam, guru-guru dan beberapa orang wakil PIBG turut hadir dalam majlis tersebut. Walaupun baru pertama kali majlis itu diadakan, namun ia dapat dikendalikan dengan lancar dan meriah, berkat kerjasama yang padu daripada warga guru,  pekerja sekolah dan AJK PIBG yang diterajui oleh Puan Siti Fatimah binti Wahab. Semua yang menghadiri majlis tersebut kelihatan begitu teruja dan gembira sekali terutama bagi murid-murid tahun enam yang akan meninggalkan sekolah tidak lama lagi.Majlis ini memberikan pengalaman baharu dan motivasi kepada mereka agar terus berusaha  dalam mengejar cita-cita mereka. 


Saturday, November 8

Majlis Sukan Tahunan Kali ke-34 SKKD


Tanggal 9 November 2014, SK Kampong Daching telah berjaya mengadakan program Hari Sukan Tahunan yang ditunggu-tunggu oleh semua murid, guru dan penduduk kampung. Puan Khalidah binti Omar, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Seremban turut hadir sama bagi merasmikan majlis hari sukan tersebut. Pelbagai acara individu dan kumpulan telah dijalankan. Rumah Merah telah mendapat mata terkumpul tertinggi dan dinobatkan sebagai juara rumah pada tahun ini. Tokoh Olahragawan telah disandang oleh Muhammad Aiman bin Ghazali dari Rumah Merah manakala Tokoh Olahragawati disandang oleh Ainur Najwa binti Noorulazman dari Rumah Kuning. Tahniah kepada semua guru dan AJK PIBG yang telah bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan Hari Sukan Tahunan SKKD pada tahun ini. 

Wednesday, November 5

Program Lawatan Sambil Belajar SKKD Tahun 2014




Sekali lagi, program lawatan sambil belajar telah diadakan di sekolah ini. Jika sebelum ini, murid yang terlibat terdiri daripada murid pra-sekolah dan murid tahap 1, namun kali ini, ia  disertai oleh murid-murid  tahap 2 pula. Seramai 40 orang murid  dan 4 orang guru pengiring  terlibat dalam program tersebut iaitu Ustaz Mohd Fadzil, Cikgu Ahmad Zuraidi, Cikgu Sharifah Munirah dan Cikgu Siti Fatimah.  Tempat yang dilawati ialah Petrosains, Kilang Chokolat dan Bangunan KLCC, Diharap dengan adanya program lawatan sambil belajar ini dapat menambahkan pengalaman dan ilmu pengetahuan kepada murid-murid di sekolah ini.
                                                                                                             
                                                                                                             Dicatat oleh Pn Hjh Siti Mariyam

Tuesday, November 4

Program Selepas UPSR Tahun 6-Perkhemahan







Salah satu program selepas UPSR iaitu perkhemahan, telah selamat dijalankan dengan jayanya selama dua hari satu malam yang diadakan di perkarangan sekolah.Pelbagai aktiviti yang dijalankan pada hari itu seperti sukaneka, malam kebudayaan, berjalan malam, memasang unggun api, senamrobik dan sebagainya. Murid-murid tahun 6 kelihatan begitu seronok menjalankan aktiviti tersebut. Dengan adanya program seperti ini diharap dapat memberikan pengalaman  dan pengetahuan baharu serta dapat menjalinkan hubungan yang erat dalam kalangan murid-murid dan guru-guru di sekolah ini. Tahniah kepada penyelaras program tersebut iaitu Puan Siti Fatimah serta semua guru di sekolah ini yang bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan program perkhemahan itu.
                                                                                                        Dicatat oleh Pn Hajah Siti Mariyam


Monday, October 13

Karnival Puisi Tradisional Peringkat Kebangsaan







Tahniah kepada semua murid dan guru yang telah berusaha sehingga mencapai kejayaan yang amat cemerlang dalam semua acara yang disertai dalam pertandingan Puisi Tradisional Peringkat Kebangsaan di SK Seremban 2B pada 11 Oktober 2014 yang lalu. Antara kejayaan yang diraih ialah naib johan dalam Pertandingan Pantun, mendapat hadiah Pemantun Terbaik oleh adik Nur Anis Najwa, ketiga dalam pertandingan Syair oleh adik Nur Faziedatul Aina Fahmi Bassa dan tempat ketiga dalam Pertandingan Seloka.  Untuk berjaya bukanlah mudah kerana cabarannya memang hebat. Hal ini kerana sekolah-sekolah yang menyertai pertandingan ini adalah dari sekolah kluster dari negeri-negeri Zon Tengah. Antaranya seperti  Negeri Sembilan (SK Puteri,SK Seremban 2B,SK Seliau,SK Chengkau), Pahang, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur. Usaha tangga kejayaan. Syabas dan tahniah daripada pihak sekolah atas kemenangan yang dicapai ini. 
                                                                                                    
                                                                                                     Dicatat oleh Puan Hajah Siti Mariyam 




Wednesday, October 8

Sambutan Penutupan Hari Merdeka Peringkat Sekolah





Alhamdulillan, sambutan Hari Kemerdekaan berjaya disambut walaupun agak lewat dari tarikh yang sepatutnya diadakan. Ini memandangkan peperiksaan UPSR dijalankan pada masa tersebut. Pelbagai acara telah berjaya dijalankan. Antaranya seperti pertandingan mewarna dan melukis poster, pertandingan pakaian beragam, kuiz kemerdekaan, pertandingan nyanyian lagu patriotik dan sebagainya.Bersesuaian dengan tema Hari Kemerdekaan ke 57 iaitu  "Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" nampaknya murid-murid begitu menghayati sambutan tersebut dengan membawa bendera dan bersemangat menyanyikan lagu Tanggal 31. Diharap dengan adanya majlis ini akan menambahkan lagi  kecintaan kita terhadap negara ini.

                                                                                                        Dicatat oleh Pn.Hajah Siti Mariyam

Thursday, September 11

Peperiksaan UPSR Bermula....


Tanggal 9 September 2014 bermulanya peperiksaan UPSR bagi 28 orang murid tahun 6 di SK Kampong Daching dan di semua sekolah rendah di negara ini. Pelbagai persiapan telah dilakukan oleh semua murid dan guru untuk mencapai target sekolah dalam peperiksaan tersebut. Apa yang diharapkan ialah semoga murid-murid  dapat menjawab soalan UPSR dengan baik dan mendapat keputusan yang cemerlang nanti.Aamiin..

                                                                                                            Dicatat oleh Pn Hjh Siti Mariyam 

Sunday, September 7

Program Bacaan Yassin Perdana


 



Majlis Bacaan Yassin Perdana telah diadakan pada 5 September 2014 di surau SK Kampong Daching sebagai usaha terakhir pihak sekolah kepada murid-murid tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan UPSR pada 9,10 dan 11 September 2014 ini dan juga untuk murid-murid tahun 5 yang akan menghadapi peperiksaan UPKK. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah guru besar, En. Shamsuddin Mohamad, YDP PIBG, En. Mazley Jamaludin, GPK-GPK , guru-guru dan murid-murid tahun 5 dan 6 berserta ibu bapa mereka. Antara aktiviti yang diadakan pada hari tersebut ialah bersembahyang maghrib berjemaah, tazkirah keibubapaan daripada ustaz undangan, solat Isyak dan solat hajat berjemaah. Sebelum bersurai,  tetamu dijamu  dengan jamuan nasi dan lauk-pauk yang dibawa oleh ibu bapa murid-murid. Diharap dengan adanya program ini akan dapat memberi kemudahan kepada murid-murid tahun 5 dan 6 menjawab soalan peperiksaan UPSR dan UPKK itu nanti, insya-Allah, Aamiin. 
                                                                                                             
                                                                                                            Dicatat oleh Pn Hjh Siti Mariyam