Apabila bekerja pada Ramadan, fikiran dan hati kita sewajarnya diisi dengan semangat dan keinginan untuk menggandakan usaha sama ada secara kuantiti mahupun kualiti sesuai gandaan ganjaran, kemuliaan serta keistimewaan Allah SWT anugerahkan di bulan penuh kerahmatan ini.
Diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan (pada Ramadan) secara sukarela satu perkara daripada perkara kebaikan (sunat), maka dia seperti orang yang menunaikan kefarduan pada masa yang lain. Sesiapa menunaikan (pada Ramadan) suatu kefarduan, maka dia seperti orang yang menunaikan 70 kewajipan pada masa yang lain.”
Bulan Kualiti
Justeru, saya tertarik apabila ada organisasi mengadakan Bulan Kualiti pada Ramadan. Program diatur boleh mengingatkan dan mencabar kesungguhan diri bagaimana kita boleh menjana kualiti serta meningkatkan prestasi lebih baik berbanding bulan lain.
Ramadan sering dirujuk bulan memperbanyakkan beribadat dan bersedekah, sedangkan selain daripada itu tidak pula dianggap sebagai ibadat. Menghulur selain daripada wang ringgit dan harta pula, tidak difahami sebagai suatu sedekah.
Kefahaman ini jika dibiarkan boleh mencacatkan suasana dan hasil kerja pada bulan ini. Atas semangat ini juga kita menyemarakkan kegigihan bekerja dengan sukarela dan senang hati sambil memujuk diri bersabar menghadapi segala kesulitan dalam keadaan berpuasa sebagai suatu latih tubi.
Pengertian sedekah lebih luas
Justeru, menyegerakan urusan bagi sesuatu permohonan, mempercepatkan pembayaran, menjawab panggilan telefon serta melayan pelanggan semasa waktu rehat juga antara contoh ibadat dan sedekah di tempat kerja.
Menurut Islam, setiap kebaikan itu nilainya adalah ibadat dan apabila Allah SWT memerintahkan kita menafkahkan sebahagian harta ke jalan-Nya, tujuannya adalah sebagai tanggungjawab sosial dan untuk mengelak keburukan pada diri pemilik.
Kefahaman dan semangat inilah maka Prof Dr Yusof al-Qaradawi melebarkan maksud sedekah dalam bukunya Dawru al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad Islamiy.
Sumbang buah fikiran
Salah satu caranya ialah bersedia menyumbang tenaga dan buah fikiran di tempat kerja tanpa dipaksa, menunggu arahan atau mengharapkan pujian. Inilah antara maksud mendalam yang terkandung dalam konsep sedekah meliputi segala kemampuan dimiliki.
Segala keupayaan dan kemampuan inilah menjadi modal dan ‘harta’ bersedekah. Firman Allah SWT: “Orang yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 274)
Konsep kerja
Jika konsep sedekah diterjemahkan dalam bekerja, beberapa parameter atau bentuk bersedekah ialah melakukan sesuatu kerja dengan inisiatif sendiri tanpa arahan tertakluk kepada bidang kuasa dan peraturan.
Menyiapkan kerja lebih awal atau dalam tempoh dikehendaki tanpa perlu diberikan peringatan berulang, bersedia memperuntukkan lebih masa untuk kerja, melayani pelanggan atau melayan panggilan telefon walaupun di luar waktu pejabat.
Usaha ini walaupun kemungkinan sukar untuk dipertimbangkan pada bulan lain tetapi pada Ramadan yang mana Allah SWT menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda, menjadikan kita lebih ringan tulang.
Usaha ini menjadikan Ramadan madrasah untuk melahirkan insan lebih baik bukan sekadar pada ibadat khususnya seperti solat, zikir dan tadarus malahan juga pada kerjaya.
Kefahaman yang betul mengenai ibadat dan sedekah kerja ini bukan sekadar bermanfaat untuk organisasi tetapi juga setiap kita supaya semangat Ramadan diserapkan dalam segenap keadaan, sekali gus membentuk kekuatan sahsiah.
Menurut pandangan Pendeta Zaaba, antara kelemahan masyarakat ialah apabila lemahnya sahsiah yang antaranya terlalu bergantung kepada orang lain, kurang hemah dan lemah cita-cita.
Dipetik dalam akhbar Berita Harian ( Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
No comments:
Post a Comment